suria

Pemberian Insentif RM500: BN P. Pinang Tubuh Urus Setia Khas

GEORGE TOWN: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang akan menubuhkan urus setia khas bagi memudahkan rakyat mendapat maklumat mengenai pemberian khas RM500 oleh kerajaan persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja BN negeri Dr Teng Hock Nan berkata urus setia khas itu akan ditubuhkan di setiap pejabat perkhidmatan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dan pejabat penyelaras BN negeri untuk membantu rakyat yang layak untuk mendapatkan pemberian khas tersebut.

"Selepas pengumuman pemberian khas tersebut, kami telah menerima banyak pertanyaan berhubung pemberian itu dan hasil mesyuarat telah memutuskan untuk menubuhkan pejabat urus setia tersebut untuk membantu rakyat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di sini, Isnin.

Katanya talian "hotline" juga akan disediakan dalam masa terdekat untuk memudahkan rakyat mendapatkan maklumat melalui telefon.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2012 pada Jumaat lepas antara lain mengumumkan bantuan khas "one-off" RM500 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir menyifatkan Belanjawan 2012 adalah Bajet Transformasi yang akan memacu kemajuan negara untuk kesejahteraan rakyat.

"Belanjawan itu memenuhi harapan dan hasrat semua lapisan rakyat," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain