suria

Pembangkang Sambut Baik Batal Kaji Kenaikan Elaun Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR: Pembangkang menyambut baik keputusan kerajaan menarik balik cadangan kenaikan gaji dan elaun ahli Parlimen daripada peruntukan Bajet 2012.

Menyifatkan sebagai bukan masa yang sesuai untuk mengkaji semula kenaikan berkenaan, rata-rata wakil rakyat pembangkang mahu kerajaan memberi perhatian kepada isu ekonomi rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan kajian semula tersebut tidak munasabah walaupun turut mendapat rungutan daripada wakil rakyat pembangkang.

"Tidak munasabah untuk pertimbangkan walaupun ada ahli Parlimen yang mengeluh. Tetapi tak wajar untuk pertahankan (kaji semula elaun) dalam keadaan ekonomi sekarang," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Keputusan penarikan balik cadangan kajian berkenaan diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada Isnin ekoran bantahan keras pembangkang sebelum ini termasuk Anwar.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2012 mengumumkan bahawa kerajaan akan mengkaji elaun ahli Parlimen sekiranya mendapat sokongan wakil rakyat kerajaan, pembangkang dan bebas.

Mengulas lanjut Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh bagaimanapun berkata, pembangkang tidak menolak sekiranya kerajaan mengusulkan untuk memperuntukan elaun penyelidik bagi setiap wakil rakyat.

"Kalau dinyatakan secara spesifik seperti elaun penyelidik, pembantu di kawasan Parlimen...tapi itu tidak dicadangkan.

"Kami tolak proposal berkenaan (kaji elaun), tapi kalau mereka kembali dengan cadangan baru mengatakan untuk sediakan penyelidik, pembantu di Parlimen..itu lain," katanya.

Selain itu, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali turut menyokong keputusan kerajaan menarik balik cadangan kenaikan tersebut yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM30 juta.

"Secara prinsipnya ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak menerima cadangan berkenaan kerana ini bukan masanya. Tumpuan harus diberikan kepada masalah rakyat serta kenaikan harga barang.

"Mengapa sekarang nak naikkan, saya sambut baik keputusan menarik balik. Kita boleh kaji, tapi ini bukan masa yang sesuai," katanya.

Dalam pada itu Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad berkata, peruntukan khusus bagi membayar elaun penyelidik dan pembantu ahli Parlimen wajar dikaji semula untuk kemudahan wakil rakyat.

"Tak perlu naikkan gaji wakil rakyat, cukup sekadar beri peruntukan untuk naikkan elaun penyelidik," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain