suria

Malaysia, Indonesia Bincang Isu Pekerja Asing

KUALA LUMPUR: Isu pekerja asing dan pembantu rumah Indonesia adalah antara topik yang akan dibincangkan pada Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Kerjasama Dua Hala ke-11 antara Malaysia dan Indonesia selama dua hari yang bermula Ahad, di sini.

Menurut kenyataan akhbar Kementerian Luar, delegasi Malaysia akan diketuai oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman manakala rakan sejawatnya, Dr. RM Marty M.Natalegawa akan mengetuai delegasi Indonesia pada mesyuarat tahunan itu.

Selain isu pekerja asing dan pembantu rumah Indonesia, mesyuarat itu juga akan membincangkan perkembangan pembatasan sempadan maritim dan persempadanan darat.

Turut dibincangkan, isu-isu kepentingan bersama lain yang dapat mempertingkatkan dan memperkukuhkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Indonesia.

Menurut kenyataan itu, sebelum pertemuan kedua-dua Menteri Luar berlangsung, satu mesyuarat di antara Pegawai-pegawai Kanan (SOM) akan diadakan untuk membincangkan mengenai kerjasama beberapa bidang termasuk politik, ekonomi dan sosial. —BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain