suria

Kerajaan Digesa Kaji Semula Dasar Pengambilan Pekerja Asing

KOTA KINABALU: Majlis Perhubungan Malaysia-Kesatuan Global UNI (UNI-MLC) menyarankan agar kerajaan Pusat mengkaji semula dasar berhubung pengambilan pekerja asing terutama di Sabah.

Presidennya Mohamed Shafie Mammal berkata langkah itu wajar bagi memastikan kepentingan pekerja tempatan atau rakyat tempatan sentiasa terbela.

Beliau berkata lazimnya pekerja asing diambil bagi sektor tertentu sahaja terutama sektor perladangan dan pembinaan namun apa yang berlaku ialah pengambilan pekerja asing ini seolah-olah meliputi banyak sektor termasuk sektor yang sepatutnya boleh diisi oleh pekerja tempatan.

"Oleh itu, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji secara menyeluruh dan menentukan kuota pekerja asing yang diambil bagi sektor yang benar-benar memerlukan perkhidmatan mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Bengkel Advokasi Majlis Kesatuan Sekerja Perkhidmatan Asean (ASETUC) peringkat nasional di sini, Isnin.

Mohamed Shafie, yang juga setiausaha agung ASETUC, berkata dasar baru itu seharusnya mengambil kira bukan sahaja pandangan kesatuan-kesatuan pekerja, majikan dan pemimpin tetapi juga mendengar keluhan pekerja tempatan sendiri di negara ini.

"Berdasarkan kajian, terdapat kecenderungan majikan tempatan melabelkan pekerja tempatan kita sebagai 'pemalas' dan tidak mahu gaji murah," katanya.

Oleh itu, beliau berkata kerajaan perlu merangka garis panduan yang menyeluruh termasuk pelan mentransformasikan majikan di negara ini daripada segi persepsi terhadap pekerja tempatan, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

"Kita juga tidak mahu melihat majikan mengambil kesempatan terhadap pekerja asing dengan memberi gaji yang murah dengan kemudahan lain termasuk tempat tinggal yang tidak selesa.

"Jadi atas kesedaran inilah, maka ASETUC menganjurkan bengkel seumpama ini di sini khusus untuk para peserta dari Sabah dan Sarawak," katanya.

Mohamed Shafie berkata pihaknya menyedari bahawa Sabah adalah antara negeri yang mempunyai ramai pekerja asing dan berpendapat sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan kuota atau had untuk pengambilan pekerja asing.

"Apa yang kita lihat perangkaan yang diberikan oleh kerajaan, jumlah pekerja asing di negara ini sentiasa berubah-ubah, sekaligus menunjukkan bahawa kerajaan sendiri tidak mengetahui jumlah sebenar pekerja asing di negara ini terutama di Sabah," katanya.

Beliau berkata walaupun negara ini menghargai sumbangan pekerja asing dalam membantu memajukan negara ini termasuk dalam soal ekonomi, namun kita tidak boleh leka dalam memperjuangkan hak-hak rakyat tempatan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain