suria

Agensi Kerajaan Perlu Turun Padang Jelas Belanjawan 2012 Kepada Rakyat Kelantan

KOTA BAHARU: Agensi kerajaan berkaitan diminta 'turun padang' bagi menjelaskan kepada rakyat Kelantan dalam bahasa yang mudah mengenai Belanjawan 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lepas.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pemahaman yang sejelas-jelasnya kepada rakyat Kelantan itu adalah sangat perlu kerana Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan yang sangat besar untuk faedah rakyat keseluruhannya pada belanjawan itu.

"Guna bahasa yang mudah difahami agar semua pihak memahami dengan jelas dan penerangan yang tepat mampu menghindarkan rakyat terpengaruh dengan tohmahan pihak yang tidak bertanggungjawab memesongkan perkara sebenar," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Persekutuan di sini, Ahad.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata antara yang perlu diterangkan itu mengenai pengumuman imbuhan sebanyak RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan serta bantuan persekolahan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang mampu mengurangkan beban rakyat.

"Pengumuman itu adalah tepat pada masanya di saat rakyat Kelantan akan berdepan dengan musim tengkujuh tidak lama lagi dan menjelang sesi persekolahan baru nanti terutama kepada golongan penoreh getah, petani dan nelayan," katanya.

Bagi tujuan itu, Mustapa berkata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin telah dipertanggungjawab untuk mengatur sesi penerangan itu kepada rakyat Kelantan mengenai manfaat Belanjawan 2012 kepada mereka. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain