suria

Tsu Koon Yakin Gerakan Mampu Beri Khidmat Berkesan Kepada Masyarakat Tawau

TAWAU: Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yakin parti itu berupaya memberi perkhidmatan lebih berkesan jika calonnya diberi peluang bertanding di kawasan Tawau pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata dua wakil rakyat sedia ada di kawasan Tawau yang diwakili parti pembangkang dan bebas, gagal memberi perkhidmatan berkesan seperti yang diharapkan rakyat.

"Sebenarnya, di Tawau sejak (hampir) tiga tahun ini, di bawah pembangkang dan pembangkang bebas sudah terbukti tidak begitu berkesan (berkhidmat kepada rakyat).

Jadi sudah sampai masanya rakyat Tawau berubah untuk menyokong parti Barisan Nasional (BN) dan menukar wakil rakyat yang tidak berkesan itu.

"Kita memang bersedia untuk berkhidmat dengan lebih berkesan kepada rakyat di kawasan ini. Kita bersedia untuk membantu Barisan Nasional memenangi kerusi-kerusi di kawasan Tawau dan di sekelilingnya.

"Oleh itu, memang kami berharap supaya diberi pertimbangan sebab kita ada organisasi dan kita juga ada seorang bakal calon yang popular di kawasan ini dan haruslah diberi pertimbangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Perwakilan Gerakan Negeri Sabah ke-15 di sini, Ahad.

Menurut Koh wakil rakyat BN berupaya memberi khidmat lebih berkesan kerana mereka mampu mendapat dan menguruskan peruntukan daripada kerajaan pusat untuk disalurkan kepada rakyat.

Mengenai pendirian parti itu berhubung tiga wakil rakyatnya di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah sekarang, beliau berkata ketiga-tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Gerakan berkenaan terus memberi khidmat terbaik di kawasan masing-masing.

Sehubungan itu beliau yakin sekiranya ketiga-tiga Adun berkenaan dicalonkan semula pada pilihan raya akan datang, mereka mempunyai peluang tinggi untuk memenangi kerusi masing-masing.

"Sememangya sejak SAPP (Parti Maju Sabah) keluar daripada BN, seperti juga parti lain, kita juga menuntut supaya Gerakan diberi peluang (bertanding di kawasan SAPP).

Kita mempunyai organisasi dan bakal calon yang dapat memenangi kawasan berkenaan.

Bagaimanapun kata Koh, selaras dengan semangat BN, parti itu akan menggunakan saluran parti berkenaan untuk membincangkan perkara tersebut dan tidak ingin mengheboh-hebohkannya melalui banyak kenyataan. -BERNAMA

Artikel Lain