suria

Isu Pekerja Asing, Pembantu Rumah Dibincang Pada Mesyuarat JCBC Malaysia-Indonesia

KUALA LUMPUR: Isu pekerja asing dan pembantu rumah Indonesia adalah antara topik yang akan dibincangkan pada Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Kerjasama Dua Hala ke-11 antara Malaysia dan Indonesia selama dua hari mulai Isnin, di sini.

Menurut kenyataan akhbar Kementerian Luar, delegasi Malaysia akan diketuai oleh Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman manakala rakan sejawatnya Dr RM Marty M.Natalegawa akan mengetuai delegasi Indonesia pada mesyuarat tahunan itu.

Selain isu pekerja asing dan pembantu rumah Indonesia, mesyuarat itu juga akan membincangkan perkembangan pembatasan sempadan maritim dan persempadanan darat serta isu-isu kepentingan bersama lain yang dapat mempertingkatkan dan memperkukuhkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Indonesia.

Menurut kenyataan itu, sebelum pertemuan kedua-dua Menteri Luar berlangsung, satu mesyuarat di antara Pegawai-pegawai Kanan (SOM) akan diadakan untuk membincangkan mengenai kerjasama beberapa bidang termasuk politik, ekonomi dan sosial.

Mesyuarat JCBC diadakan bagi menilai perkembangan kerjasama dua hala sepanjang tahun ini di samping untuk menyusul keputusan-keputusan yang telah dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia Dr.H.Susilo Bambang Yudhoyono semasa Rundingan Tahunan ketujuh yang telah berlangsung di Putrajaya pada 18 Mei tahun lepas. -BERNAMA

Artikel Lain