suria

Tiga Pengamal Media Terima Darjah Kebesaran Melaka Bawa Gelaran Datuk

MELAKA: Tiga pengamal media termasuk Timbalan Ketua Pengarang, Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Zulkifli Salleh menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk sempena ulangtahun ke-73 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, pada Jumaat.

Zulkifli dan Pengarang Utusan Melayu (M) Sdn Bhd Othman Muhamad menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) manakala Timbalan Pengarah Berita Hal Ehwal Semasa, Jabatan Penyiaran, Sayuti Mukhtar menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) juga membawa gelaran Datuk.

Jurukamera BERNAMATV Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor yang terkorban ketika menyertai misi kemanusiaan di Somalia pada 2 Sept lepas merupakan penerima tunggal Bintang Gagah Perkasa (BGP).

Wartawan Sin Chew Daily, Melaka Choon Kion Sin dan wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Samat Majid masing-masing menerima Darjah Seri Melaka (DSM).

Ketua pemberita Nanyang Siang Pau Melaka, Tang Peng Yue menerima Bintang Cemerlang Melaka (BCM) manakala jurukamera akhbar The Star A Malex Yahaya dan wartawan Melaka Hari Ini, Azhar Yusof menerima Bintang Khidmat Terpuji.

Pengamal media yang menerima Pingat Jaksa Kebaktian (PJK) ialah Amran Ali (Sinar Harian), Rosli Hassan (Kosmo) dan Tan Voon Kiong (Sin Chew Daily). - BERNAMA

Artikel Lain