suria

Produk Perabot Malaysia Dapat Sambutan Di Negara Dunia Ketiga

JITRA: Produk perabot Malaysia mendapat sambutan yang menggalakkan di negara dunia ketiga berbanding perabut dari Eropah, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Katanya permintaan terhadap perabot Malaysia di negara dunia ketiga adalah tinggi kerana kualitinya yang bagus dan harga yang ditawarkan adalah rendah berbanding negara Eropah, tetapi saingan untuk memasarkan produk itu juga cukup hebat.

"Negara dunia ketiga sekarang ini sedang melalui satu proses di mana ekonomi mereka semakin membangun secara pesat dan permintaan terhadap produk perabot juga semakin tinggi. Walau pun para pelabur (perabut) Eropah adalah yang terbaik tetapi harga yang mereka letakkan terlalu tinggi.

"Kalau mereka (negara dunia ketiga) cari perabut yang sedikit murah dari negara lain yang mengeluarkan produk perabut, mungkin kualitinya tidak begitu baik tetapi di Malaysia, harga perabot yang ditawarkan berpatutan dan kualitinya juga bagus. Jadi, itu yang paling sesuai dengan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan My Kitchen Nasir Interior Decoration di Tanah Merah dekat sini, Sabtu.

Katanya beliau mengesyorkan supaya syarikat yang mengeluarkan produk perabot supaya menerokai peluang pasaran di negara dunia ketiga.

"Saya juga lihat bahawa perabut buatan Kedah sebenarnya mempunyai permintaan yang tinggi dan telah menjadi cita-cita saya untuk melihat perabot buatan Kedah dapat dipasarkan di negeri-negeri lain dan kalau boleh sampai ke luar negara," kata Mukhriz.

Beliau berkata pengusaha perabot tempatan sedang giat berusaha untuk mengeluarkan produk yang berkualiti tinggi pada kadar harga yang memenuhi permintaan walau pun mereka menghadapi pelbagai cabaran seperti membuka ruang pameran.

"Kita telah terima beberapa permintaan supaya kerajaan memberi perhatian dalam soal menyediakan ruang pameran supaya perabot keluaran tempatan termasuk di Kedah dapat dipamerkan kepada pelanggan dan dengan cara itu ia dapat merangsangkan lagi jual beli perabot," katanya.

Mukhriz berkata biasanya pelanggan lebih suka kalau mereka dapat melihat sendiri perabut tersebut berbanding mendengar penjelasan pengusaha perabot.

"Bila mereka datang ke bilik pameran, mereka boleh bayangkan bagaimana nak aplikasi perabot-perabot ini di kediaman mereka sendiri.

"Ini satu perkara yang saya ingat perlu kita perhalusi dan kita belum ada keputusan lagi mengenai perkara ini tapi saya telah mendengar dan menerima cadangan tersebut daripada wakil pembuat perabot di negeri Kedah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain