suria

Pengecualian Duti Bagi Kenderaan Hijau Tidak Akan Jejas Proton

KUALA LUMPUR: Lanjutan pengecualian duti import dan duti eksais bagi kereta hibrid dan kenderaan elektrik tidak akan menjejaskan pengeluar kereta nasional Proton, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

"Proton mempunyai kelebihannya sendiri dari segi setempat dan harga, justeru itu lanjutan tersebut tidak akan memberi kesan negatif kepada pengeluar kereta tersebut," kata Chin kepada Bernama selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan belanjawan setahun di sini, Jumaat.

Najib berkata lanjutan pengimportan kereta "hijau" ini adalah sehingga 2013.

Proton mempunyai pelan yang telah disusun untuk melancarkan 20 unit pertama kenderaan hibrid dan elektrik di Malaysia pada Jun tahun depan. Kenderaan itu yang akan digunakan di koridor hijau Putrajaya dan Cyberjaya sedang di peringkat akhir pengujian dan pengesahan.

Mengenai keseluruhan belanjawan itu, Chin mengucapkan terima kasihnya kepada Perdana Menteri di atas penekanan yang diberikan kepada teknologi hijau.

"Kami juga memuji langkah kerajaan untuk meneruskan subsidi 20 peratus bil elektrik," katanya.

Artikel Lain