suria

Malaysia, UK Jalin Kerjasama Rapat Mengenai Penyelidikan Dua Hala

KUALA LUMPUR: Malaysia dan United Kingdom (UK) bersetuju untuk menjalin kerjasama rapat mengenai penyelidikan dua hala dalam sains, teknologi dan kejuruteraan.

UK dan Malaysia berpendapat bahawa aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalam bidang ini akan lebih penting untuk pembangunan ekonomi berterusan dan memperbaiki taraf kehidupan.

Kerjasama rapat dalam bidang itu diputuskan semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke UK pada 14 Julai lepas, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Ketua Penasihat Saintifik kepada UK, Prof John Beddington dan Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Prof Emeritus Datuk Dr Zakri Abdul Hamid.

Kedua-dua negara akan bekerjasama mengenai teknologi nuklear awam bagi keselamatan tenaga, penemuan penyelidikan dan pengkomersilan inovasi, bioteknologi, jaminan makanan dan genetik, sains kehidupan dan penjagaan kesihatan, teknologinano, kejuruteraan maritim dan marin, alam sekitar dan teknologi tenaga diperbaharui.

Kenyataan itu menyatakan bahawa saintis dari UK dan Malaysia akan menggalakan kerjasama saintifik dan rangkaian penyelidikan baru untuk membangunkan kesedaran yang lebih besar bagi mengukuhkan saintifik di negara masing-masing dan merangsang inovasi. - BERNAMA

Artikel Lain