suria

Bukan 'Bajet Pilihan Raya' - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak dakwaan pembangkang bahawa Bajet 2012 sebagai 'bajet pilihan raya' menjelang pilihan raya umum akan datang.

Sebaliknya menurut beliau, pertimbangan utama kerajaan menerusi Bajet 2012 adalah bagi memastikan rakyat di semua peringkat menikmati faedah terutama untuk meningkatkan taraf hidup selari dengan perkembangan ekonomi semasa.

"Saya tak fikir perkara itu (pilihan raya) menjadi pertimbangan utama, kerana situasi dan keadaan hari ini memerlukan kerajaan prihatin tentang keperluan rakyat.

"Jadi bila diberikan pelbagai kemudahan dan tawaran dalam Bajet 2012 ini...itu adalah tujuan utamanya.

"Kalau ada pihak kata ini belanjawan pilihan raya, itu terserah kepada mereka. Bila pilihan raya nak diadakan?" katanya pada sidang media di lobi Parlimen selepas sesi perbentangan Rang Undang-undang Perbekalan (2012) di sini, Jumaat.

Beliau mengulas dakwaan pembangkang bahawa kerajaan menjadikan Bajet 2012 sebagai 'gula-gula' politik untuk memenangi hati rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13.

Selain itu Muhyiddin berkata, Bajet 2012 yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai belanjawan yang seimbang kerana mencakupi semua bidang secara menyeluruh di semua peringkat.

Menurutnya, menerusi Bajet 2012 ia diyakini dapat menyentuh hati rakyat sama ada yang terlibat di bidang pertanian, perladangan, sektor swasta, golongan pesara mahupun penjawat awam.

"Ini adalah belanjawan terbaik yang mungkin belum pernah dibentangkan sebelum ini.

"Ia juga menunjukkan kesungguhan berterusan kerajaan Barisan Nasional (BN) membela nasib rakyat," katanya.

Artikel Lain