suria

Berdasarkan Sejarah Perubatan, Mustahil Anwar Lakukan Seks - Pakar Bedah

KUALA LUMPUR: Berdasarkan sejarah perubatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mustahil untuk beliau menggerakkan badan seperti yang didakwa di dalam pertuduhan liwat yang dihadapinya, Mahkamah Tinggi diberitahu di sini, Jumaat.

Pakar bedah ortopedik Dr Thomas Hoogland berkata sebagai pakar tulang belakang, beliau berpendapat Anwar sukar membongkokkan badan berdasarkan masalah kesihatan yang dihadapinya.

Ditanya oleh peguam Anwar, S.N.Nair dalam pemeriksaan utama, Dr Hoogland berkata, beliau memutuskan demikian berdasarkan pemeriksaan (ke atas Anwar), yang disokong imbasan resonen magnetik (MRI) dan keputusan X-Ray.

Ditanya oleh Nair sama ada dalam hubungan seksual itu - yang mana banyak membabitkan pergerakan secara cepat dan kasar serta melutut - adakah mungkin aksi itu dilakukan tanpa rasa sakit, Dr Hoogland berkata:

"Apabila seseorang bergerak, dan membongkokkan badan, ia akan menyebabkan kesakitan di bahagian belakang.

"Melakukan pergerakan membongkok, saya fikir adalah mustahil bagi Anwar yang sudah berumur untuk melakukan aksi liwat itu," katanya pada perbicaraan Anwar, 64, yang menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26.

Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008, melakukan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Pemeriksaan balas oleh Peguam Cara Kanan II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, Dr Hoogland berkata berdasarkan laporan beliau ketika memeriksa Anwar pada 10 Ogos 2004, kecederaan Anwar disebabkan oleh serangan polis pada 1998. Beliau berkata dalam laporan perubatan 2004, beliau ada menyatakan Anwar mengalami stenosis dan kerosakan saraf.

Dr Hoogland berkata selepas pembedahan pada 6 September 2004, keadaan belakang Anwar semakin pulih tetapi beliau masih mengalami sakit di bahagian kiri, belakang badannya.

Merujuk kepada laporan perubatan terbaru Anwar, bertarikh 8 Sept tahun ini, beliau berkata Anwar boleh berjalan dengan baik tetapi beliau mengalami masalah untuk membongkokkan badannya terutama ketika hendak mengambil barang yang jatuh.

Berhubung rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2008 - hari kejadian itu didakwa berlaku - di mana Anwar dilihat memasuki lif dan membongkok untuk mengambil kot dari begnya, Mohamed Yusof bertanya Dr Hoogland pendapatnya sebagai seorang pakar, tentang kemampuan Anwar membongkok.

Pakar tulang belakang itu menjawab, pergerakan di dalam CCTV itu telah dimundar laju iaitu bukan pergerakan Anwar yang sebenar.

"Bagaimanapun, daripada rakaman itu, saya tidak boleh menyatakan seseorang itu dalam kesakitan apabila melakukan pergerakan itu," tambah beliau.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah akan bersambung 17 Oktober ini.

Di luar mahkamah, Nair memberitahu pemberita pihak pembelaan bercadang memanggil bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hasan dan bekas Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof.

Bagaimanapun, beliau berkata Mohamed Yusof juga bercadang memanggil dua atau tiga saksi pendakwaan untuk mematahkan keterangan saksi pembelaan.

"Tidak dinyatakan siapakah saksi itu, tetapi mungkin merupakan saksi pakar untuk membalas keterangan Dr Hoogland," tambah Nair. - BERNAMA

Artikel Lain