suria

Belanjawan 2012:Kementerian Kesihatan Fokus Naik Taraf Klinik Desa

BENTONG: Kementerian Kesihatan akan menumpukan kepada penambahbaikan klinik desa dan menambah bilangan Klinik 1Malaysia menerusi peruntukan Belanjawan 2012.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata selain itu, kementerian tersebut juga akan membeli dan menambah peralatan hospital yang lebih canggih.

"Selain dapat memberikan mutu perkhidmatan yang lebih baik, kementerian dapat melancarkan lebih banyak aktiviti dalam komuniti bagi menjaga dan meningkatkan kesihatan rakyat," katanya kepada pemberita, di sini, Sabtu.

Liow mengulas penambahan 10.8 peratus peruntukan untuk kementeriannya yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2012, semalam.

Tambahan peruntukan itu juga katanya, akan membolehkan rakyat mendapatkan pemeriksaan lebih kerap, sekali gus membolehkan pengesanan penyakit lebih awal.

"...secara tidak langsung ini dapat menyelamatkan banyak nyawa dan menjimatkan kos rawatan pesakit dan kerajaan," katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada Najib kerana memperuntukkan RM300 untuk membaik pulih dan menaik taraf Hospital Kuala Lumpur dalam usaha menjadikan institusi berusia lebih 100 tahun itu pusat perubatan primer yang dilengkapi kemudahan canggih. - BERNAMA

Artikel Lain