suria

Belanjawan 2012 Utamakan Rakyat:Presiden MCA

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pada Sabtu menyambut baik Belanjawan 2012 yang katanya memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk menangani kenaikan kos sara hidup dan sekali gus membuktikan bahawa kerajaan mengutamakan kepentingan rakyat.

Sambil mengalu-alukan belanjawan itu yang bertemakan 'Membela Rakyat, Mensejahterakan Negara', beliau berkata ia merupakan rangka tindakan "yang tepat pada masanya dan wajar" memandangkan kos sara hidup yang meningkat di seluruh dunia.

“Kami menyambut baik inisiatif 'rakyat didahulukan' oleh kerajaan itu, yang menawarkan bantuan khas RM500 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah," katanya dalam kenyataan di sini.

Dr Chua berkata inisiatif lain seperti pemberian wang kepada pelajar untuk membeli buku, pemberian RM100 juta kepada setiap sekolah biasa dan sekolah agama serta RM3,000 kepada setiap bekas anggota pasukan keselamatan merupakan antara bukti bahawa kerajaan mengambil berat dan mengutamakan rakyat.

Katanya MCA juga gembira kerana peruntukan RM33.2 bilion untuk semua subsidi, insentif dan bantuan yang diberi selama ini akan diteruskan kerana langkah itu akan membantu memerangi inflasi.

“Walaupun ekonomi dunia tidak berada dalam keadaan baik berikutan krisis hutang dan ketidakstabilan kewangan, tetapi melalui pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (PTK), kami yakin kita masih mampu mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak lima peratus kepada 5.5 peratus tahun depan," kata Dr Chua.

Beliau berkata MCA yakin kerajaan mampu mencapai sasaran untuk mengurangkan defisitnya daripada 5.4 peratus kepada 4.7 peratus KDNK tahun depan.

“Untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, kerajaan perlu menggalakkan lebih banyak pelaburan awam dan swasta (PPI) dan kami yakin PPI boleh ditingkatkan sebanyak 15.9 peratus (pelaburan swasta) dan tujuh peratus (pelaburan awam) dengan sokongan pelaburan asing, ETP dan Rancangan Malaysia Kesepuluh," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain