suria

Belanjawan 2012 Mesra Wanita

KUALA LUMPUR: Beberapa badan bukan kerajaan dan pemimpin wanita pada Jumaat menyifatkan Belanjawan 2012 sebagai mesra wanita yang mengutamakan kebajikan serta mengiktiraf sumbangan mereka kepada negara.

Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj berkata usaha kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan kebajikan untuk wanita dan kanak-kanak adalah langkah memastikan keperluan khas golongan itu dipenuhi.

"Kemudahan untuk wanita itu wajar dibuat dan dipertekankan termasuk mengutamakan kesihatan mereka yang telah banyak memainkan peranan penting dalam masyarakat," katanya kepada Bernama, di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat pada Jumaat, antara lain mengumumkan pembinaan sebuah hospital khusus untuk wanita dan kanak-kanak di sini.

Setiausaha Kerja Wanita Umno Noor Haiza Mariena Mat Ramli berkata pembinaan hospital itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan kedua-dua golongan tersebut.

"Sebelum ini kita pernah dengar mengenai koc wanita bagi perkhidmatan komuter, sekarang kerajaan membuat langkah seterusnya dengan memperuntukkan RM700 juta dalam membina hospital ini," katanya.

Penasihat Kehormat Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) Datuk Zuraidah Atan pula berkata kerajaan peka dengan penyakit wanita apabila menyenaraikan suntikan percuma imunisasi Human Papilloma Virus (HPV) dalam Belanjawan 2012.

"Usaha ini amat baik sebagai langkah pencegahan awal bagi mengelak penyakit yang membawa kematian kepada ramai wanita itu," katanya.

Mengenai program latihan untuk wanita yang berpotensi menjadi anggota lembaga pengarah syarikat, Naib Ketua Puteri Umno Shahanim Mohamad Yusoff berkata peluang itu harus direbut kaum hawa bagi membuktikan mereka mampu bersaing.

Mengulas mengenai peluang wanita menceburi bidang keusahawanan menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga dan Amanah Ikhtiar Malaysia, beliau berkata penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan dapat mengubah nasib dan mengukuhkan keadaan ekonomi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Datuk Wan Mahmood Pawanteh berkata langkah kerajaan mengecualikan golongan warga emas daripada membayar caj pendaftaran pesakit luar membuktikan kerajan prihatin dengan semua golongan.

Pengerusi Persatuan Rumah Warga Emas Klang Selangor M. Yougarani pula berkata usaha itu amat baik kerana golongan warga emas lazimnya menghidappelbagai penyakit. - BERNAMA

Artikel Lain