suria

Belanjawan 2012 Bantu Tingkat Pendapatan Rakyat

PETALING JAYA: Belanjawan 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat diyakini dapat membantu rakyat meningkatkan pendapatan mereka seiring dengan hasrat kerajaan untuk memacu Malaysia ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Baayah Baba berkata, ia adalah langkah positif yang perlu diterima segenap lapisan masyarakat bagi mengurangkan kos sara hidup yang tinggi pada masa kini.

"Bagi saya, apa yang diumumkan Perdana Menteri perlu disambut dengan baik kerana kita tidak tahu apa yang berlaku pada masa hadapan. Apa yang dilakukan kerajaan pastinya mengambil kira setiap aspek secara menyeluruh terutamanya perkara membabitkan kepentingan rakyat," katanya kepada mStar Online.

Menurut beliau, peningkatan pendapatan rakyat mampu meningkatkan kuasa beli pengguna sekaligus mempengaruhi jumlah permintaan terhadap sesuatu produk.

"Dalam aspek ini, permintaan yang tinggi terhadap sesuatu produk dapat membantu pekerja-pekerja menambah sumber pendapatan mereka dengan bekerja lebih masa," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat di negara ini supaya tidak terpedaya dengan tipu muslihat pembangkang yang mendakwa Belanjawan 2012 tidak realistik kerana kerajaan mengunjurkan pertumbuhan ekonomi pada kadar lima hingga enam peratus tahun hadapan.

"Biasalah, pembangkang tidak akan bersetuju dengan apa yang dicadangkan kerajaan. Rakyat perlu bijak menilai kerana apa yang dilakukan adalah untuk kesenangan kita.

"Banyak bantuan dihulurkan dari segi pendidikan, kesihatan semuanya bersifat membela rakyat. Subsidi minyak, beras dan gula juga dikekalkan kerana tidak mahu rakyat terbeban," tambahnya.

Mengulas mengenai kenaikan gaji kakitangan awam, Dr Baayah berkata, peningkatan sebanyak tujuh hingga 13 peratus merupakan kadar yang bersesuaian.

"Tidak perlu naik terlalu mendadak kerana jumlah itu bersesuaian dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa pada ketika ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris), Feriz Omar berkata, Belanjawan 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri pada Jumaat adalah satu-satunya formula yang akan terus diguna pakai untuk memacu pertumbuhan ekonomi di negara ini.

"Saya percaya Barisan Nasional adalah parti pemerintah yang paling berkelayakan dalam mencongak masa depan negara. Buat apa kita nak cuba yang baru sekiranya yang lama lebih baik," katanya.

Ketika ditanya mengenai kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat yang menyifatkan Belanjawan 2012 tidak realistik, Feriz berkata, pembangkang sengaja ingin mengelirukan rakyat mengenai situasi sebenar yang berlaku.

"Mereka sebenarnya iri hati kerana tidak dapat bekerjasama dengan kerajaan yang berkuasa menentukan peruntukan untuk rakyat. Adakah niat kerajaan untuk membantu rakyat itu salah?," katanya.

Artikel Lain