suria

Bekas Anggota Renjer Sarawak Harap Turut Diberi Bayaran Khas RM3,000

KUALA LUMPUR: Bekas pengesan jejak berbangsa Iban dan anggota pasukan Renjer Sarawak yang berkhidmat ketika Darurat dari 1948 hingga 1960 berharap mereka juga termasuk dalam kumpulan yang layak menerima bayaran khas RM3,000 yang diumumkan kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2012 semalam.

Presiden penaja Persatuan Veteran Ranjer Sarawak Kol (B) Rizal Abdullah berkata, bekas pengesan jejak berbangsa Iban dan bekas anggota pasukan Renjer Sarawak tidak layak mendapat sebarang bayaran pencen.

Oleh itu, bayaran khas berkenaan amat besar ertinya bagi mereka, kata beliau.

"Saya harap kerajaan tidak pinggirkan mereka. Agak ramai daripada mereka yang masih hidup. Kalau digabungkan bekas pengesan jejak berbangsa Iban dan bekas anggota pasukan Renjer Sarawak, jumlahnya mencapai beberapa ratus orang.

"Mereka sebut tentang Peninjau Sempadan, tapi tak sebut pula tentang bekas pengesan jejak berbangsa Iban dan bekas Renjer Sarawak," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Ketika membentangkan Belanjawan 2012, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kerajaan akan memberi bayaran khas RM3,000 kepada bekas anggota pasukan keselamatan serta balu dan duda mereka yang berjumlah hampir 62,000 orang.

Beliau berkata bayaran khas itu juga diberi kepada lebih 48,000 bekas anggota pasukan konstabel khas dan polis bantuan yang berkhidmat melindungi negara ini pada zaman Darurat.

Mereka terdiri daripada anggota Home Guard, konstabel khas, konstabel polis bantuan, polis bantuan, polis bantuan wanita dan polis hutan.

Rizal berkata beliau tidak pasti sama ada bayaran khas RM3,000 itu akan turut diberi kepada bekas pengesan jejak berbangsa Iban dan bekas anggota Renjer Sarawak yang telah berkhidmat ketika Darurat, tetapi berharap kerajaan akan memberi perhatain terhadap perkara itu.

Beliau berkata kebanyakan pengesan jejak berbangsa Iban telah berkhidmat dengan tentera British sebagai anggota pasukan separa tentera, dengan kumpulan pertama berkhidmat dari 1940 hingga 1952, diikuti pasukan kedua (1953-1960) dalam Renjer Sarawak yang baru (Unit Malaya) dan ketiga, Renjer Sarawak (Pasukan Darat Timur Jauh) dari 1960 hingga 1963.

Bagaimanapun, hanya bekas anggota Renjer Sarawak (Unit Timur Jauh) yang mendapat bayaran pencen, di samping mereka yang kemudiannya membuat pilihan untuk menyertai pasukan Renjer Malaysia, polis atau pasukan peninjau sempadan.

Tetapi, mereka yang berkhidmat pada 1940-1952 dan 1953 hingga 1960 tidak layak mendapat sebarang bayaran pencen kerana dianggap sebagai anggota pasukan separa tentera.

“Ramai daripada mereka, setelah selesai berkhidmat atau tamat tempoh kontrak, kembali ke kampung halaman masing-masing. Sebagai pengiktirafan terhadap perkhidmatan mereka, Kerajaan Persekutuan membayar mereka elaun RM100 sebulan,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan telah digesa berkali-kali supaya segera mengkaji semula jumlah elaun yang dibayar itu, sekurang-kurangnya dengan mengambil kira indeks kemiskinan kebangsaan sebanyak RM700.

Oleh itu, wajarlah bagi kerajaan juga mengolongkan mereka sebagai sebahagian daripada bekas anggota pasukan keselamatan yang layak menerima bayaran khas RM3,000 itu, kata Rizal. - BERNAMA

Artikel Lain