suria

Bayaran Khas RM3,000 Kepada Bekas Anggota Keselamatan Bukti Keprihatinan Kerajaan

KOTA BARU: Bayaran khas sebanyak RM3,000 kepada hampir 62,000 bekas anggota pasukan keselamatan serta duda dan balu mereka yang pernah berkhidmat semasa zaman darurat, membuktikan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan itu selama ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong berkata kerajaan akan melaksanakan pembayaran itu secepat mungkin dalam tempoh terdekat ini.

"Memandangkan ia belanjawan 2012, maka kita akan buat bayaran tersebut secepat mungkin sebaik sahaja masuknya tahun baru nanti," katanya selepas Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Pencegahan Jenayah dan Hari Kesedaran Jenayah Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2011 di sini Sabtu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Belanjawan 2012 semalam berkata bayaran khas sebagai mengenang jasa itu juga termasuk kepada lebih 48,000 bekas anggota polis khas dan polis tambahan yang mana jasa mereka sering dinafi dan diperlekeh sesetengah pihak ketika ini.

Sementara itu dalam ucapannya Lee berkata Sambutan Bulan Pencegahan Jenayah dan Hari Kesedaran Jenayah yang dilancar itu bertujuan untuk menyumbang kepada peningkatan penyelidikan yang lebih menyeluruh dan berkesan terhadap program-program berkaitan dengan pencegahan jenayah.

Beliau mahu golongan belia yang disasarkan pada program berkenaan bersungguh-sungguh membantu pihak berkuasa dalam menangani isu jenayah yang sering membabitkan golongan itu.

Turut hadir Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan Pengerusi Majlis Yayasan Pencegahan Jenayah Kelantan Datuk Abdul Aziz Nawi. - BERNAMA

Artikel Lain