suria

Wanita Warga Nigeria Ditahan Cuba Seludup Syabu Bernilai RM750,000

SEPANG: Kastam Diraja Malaysia menggagalkan satu cubaan membawa masuk tiga kilogram dadah jenis syabu bernilai RM750,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), di sini dua hari lepas.

Pengarah Kastam KLIA Datuk M. Govinden berkata pihaknya turut menahan seorang wanita warga Nigeria yang membawa bagasi mengandungi dadah tersebut.

Mengulas tangkapan itu kepada media, di sini pada Jumaat, M. Govinden berkata pemeriksaan awal ke atas bagasi yang dibawa wanita tersebut mendapati beg berkenaan mengandungi pakaian terpakai.

"Tetapi selepas pemeriksaan rapi dibuat dengan mengeluarkan kesemua kandungan bagasi, kami menemui sebuah bungkusan plastik berisi serbuk kristal pada bahagian bawah bagasi," katanya.

Siasatan awal mendapati ini adalah kali pertama wanita itu mengunjungi Malaysia, namun dia banyak mengembara ke negara-negara Afrika, katanya.

"Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk tujuan siasatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain