suria

Tiga Pegawai SPRM Didakwa Atas Tuduhan Subahat

SEPANG: Tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas pertuduhan bersubahat melakukan rompakan, penyamaran dan penipuan serta menyembunyikan rancangan rompakan melibatkan wang tunai hampir RM1 juta ke atas tiga warga Singapura.

Tertuduh, Timbalan Penguasa, S. Vijayarao, 33, dan dua lagi yang berpangkat Penolong Penguasa, Wan Elfie Shafizy Wan Ahmad, 30, serta Aziz Jaafar, 48, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut.

Pengakuan tertuduh yang kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung direkodkan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Semua tertuduh didakwa bersubahat dengan dua lelaki, T. Sritharan, 32, dan D. Nagarajan, 34, untuk merompak wang tunai USD300,000 (RM947,597.84) milik Hameed Saadik Batcha, Abd Rahman Maricar dan Mohamed Zakkariya Mohamed Shatik.

Tertuduh juga menghadapi tuduhan pilihan iaitu bersubahat dengan Sritharan yang menyamar sebagai anggota SPRM sedangkan dia bukanlah anggota di badan berkecuali tersebut.

Manakala bagi tuduhan terakhir, semua mereka didakwa dengan sengaja telah menyembunyikan rancangan rompakan berkumpulan oleh Sritharan dan Nagarajan bagi menyenangkan dua lelaki terbabit melakukan kesalahan itu ke atas ketiga-tiga mangsa.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 11 dan 11.25 malam, 15 September lalu di tandas lelaki bersebelahan Restoran Deli France, Tingkat 1, Bangunan Satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Abazafree Mohd Abas menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 kepada setiap tertuduh dengan mengambil kira jumlah yang terlibat dalam kesalahan tersebut adalah besar.

Beliau juga memohon agar mahkamah mengenakan syarat tambahan ke atas tertuduh seperti melaporkan diri ke balai polis setiap bulan, menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan pergerakan mereka untuk keluar dari semenanjung Malaysia dihalang.

Pendakwaan turut dibarisi Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud, Mohd Najib Zakaria dan Peter Gregory Syril.

Bagaimana, peguam-peguam M. Athimulan, Mohd Nazri Yahya dan T. Vijaya Sandran yang mewakili barisan pembelaan memohon agar jumlah tersebut dikurangkan kepada RM10,000.

"Prinsip jaminan juga bukan untuk menghukum sebaliknya hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah," kata Mohd Nazri.

Vijayarao juga mengambil kesempatan untuk mengemukakan rayuan sendiri dengan memberitahu dia kini digantung kerja dan bergantung kepada isterinya yang merupakan seorang guru untuk menyara dua orang anak mereka.

Wan Mohd Norisham selepas mempertimbangkan rayuan itu, membenarkan setiap tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan yang dimohon oleh pendakwaan.

Beliau menetapkan 6 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Artikel Lain