suria

Reaksi: Belanjawan 2012 Tranformasi Memacu Kemajuan Negara - Musa Aman

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menyifatkan Belanjawan 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai "Belanjawan Transformasi" yang akan memacu kemajuan negara untuk kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata belanjawan itu memenuhi harapan dan hasrat semua lapisan rakyat.

"Inilah Belanjawan Terbaik yang pernah dibentangkan setakat ini, iaitu belanjawan yang inklusif dengan mengambil kira cabaran dan keperluan semasa.

"Bukan belanjawan populis tetapi lebih realistik dan prihatin, bagi meringankan beban rakyat," katanya kepada pemberita selepas mengikuti siaran langsung televisyen pembentangan Belanjawan 2012 di Sri Gaya dekat sini.

Sehubungan itu, Musa berterima kasih kepada Perdana Menteri yang sentiasa terbukti prihatin dan komited terhadap kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

"Perdana Menteri bukan sahaja meneruskan, bahkan meningkatkan komitmen pembangunan terhadap Sabah menerusi peningkatan infrastruktur jalan raya, pembangunan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu, Koridor Pembangunan Sabah (SDC), perumahan rakyat, bekalan air bersih dan pembangunan luar bandar," katanya.

Beliau berkata belanjawan itu turut mengambil kira semua aspek termasuk pembangunan modal insan.

Katanya ini terbukti menerusi pemansuhan yuran sekolah yang jelas membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kepentingan pembangunan modal insan sebagai generasi masa depan negara.

Selain itu, katanya banyak inisiatif pelaburan untuk sektor swasta sebagai enjin pembangunan.

Musa berkata belanjawan 2012 juga bakal memantapkan lagi perkhidmatan awam sebagai fasilitator pembangunan iaitu antaranya menerusi Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang berdasarkan prestasi kerja.

Beliau menyeru semua pihak termasuk anggota pentadbiran, penjawat awam, sektor swasta dan rakyat keseluruhannya supaya terus berganding bahu dan bekerjasama bagi menjayakan usaha pembangunan yang telah dirancang menerusi belanjawan negara ini. -BERNAMA

Artikel Lain