suria

Reaksi: Bajet 2012 Inklusif Dan Menyeluruh

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat disifatkan sebagai inklusif dan menyentuh segenap lapisan rakyat bermula dari murid sekolah sehingga ke golongan pesara.

Belanjawan itu juga disifatkan sebagai belanjawan terbaik yang pernah dibentangkan dalam sejarah negara sejak merdeka 54 tahun lepas.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata belanjawan kali ini menumpukan pada usaha membantu rakyat menghadapi beban tekanan oleh kenaikan kos sara hidup ketika ini.

"Belanjawan ini adalah merupakan satu bajet yang menyeluruh dan kalau kita lihat ia tidak memaparkan kepada projek-projek besar tetapi lebih banyak menyentuh kepentingan rakyat yang sentiasa diberi keutamaan."

Mohd Shafie yang juga Naib Presiden Umno turut menyuarakan rasa gembira berikutan peruntukan besar diberikan kepada pembangunan kawasan luar bandar.

"Banyak peruntukan turut diberikan membabitkan pembangunan kawasan luar bandar antaranya peruntukan RM1 bilion untuk pembinaan dewan-dewan dan peruntukan lain yang saya percaya nelayan di kawasan saya juga akan mendapat manfaat," katanya.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata belanjawan kali ini melibatkan semua lapisan masyarakat yang menerima bantuan dan sumbangan daripada kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).

"Ini adalah suatu idea untuk membela seluruh rakyat. Semua segmen masyarakat kita menerima bantuan dan sumbangan kerajaan BN.

"Para guru, pesara, bekas perajurit dan bekas tentera juga turut menerima bantuan untuk meringankan beban kewangan mereka malah anggota Parlimen juga mendapat pertimbangan dalam bajet sejajar dengan tugas mereka.

"Sumbangan belanjawan terhadap pelajar misalnya merupakan sejenis sumbangan prihatin. Selain subsidi buku, ibu bapa juga mendapat habuan untuk meringankan beban untuk menghadapi tekanan kenaikan kos dan harga barang," katanya.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam berkata belanjawan itu mesra pekerja kerana ia memberi manfaat kepada golongan pekerja di sektor awam dan swasta.

Beliau berkata kenaikan umur persaraan dapat memberi peluang kepada mereka yang masih sihat untuk terus berkhidmat dan mendapat pendapatan dalam usia emas dan ia juga telah memenuhi permintaan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan belanjawan tersebut terbaik dan menyeluruh serta memenuhi harapan semua pihak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula berkata belanjawan itu berjaya mengimbangi pembangunan ekonomi negara dan pembangunan sosial negara.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai pula berkata ia merupakan satu belanjawan yang berjaya menterjemahkan gagasan 1Malaysia iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. "Kalau Perdana Menteri kata 'Rakyat Didahulukan' maka kita lihat bahawa belanjawan kali inilah dapat memberi perangsang yang begitu besar kepada rakyat...rakyat betul-betul didahulukan," katanya.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula menyifatkan belanjawan itu dapat merancakkan lagi usaha bagi meramaikan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang lebih kreatif dan inovatif sekali gus menjadikannya sebagai hab inovasi negara.

"Ini dapat dilihat menerusi inisiatif program penerapan dan pembangunan inovasi di peringkat IPTA selaras dengan matlamat tahun 2012 yang dipilih sebagai Tahun Gerakan Inovasi," katanya.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin menyifatkan belanjawan tersebut dapat merangsang ekonomi dan pada masa sama memberi impak yang besar kepada rakyat.

"Saya gembira kerana ia bermatlamat menyasarkan untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan sebagai wakil rakyat, agihan daripada belanjawan itu memberi makna yang besar kepada rakyat yang saya wakili," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain