suria

Rang Undang-Undang Kerja Lulus Selepas Lima Jam Dibahas

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2011 yang dihimpit kontroversi dan mendapat tentangan hebat daripada anggota Parlimen pembangkang akhirnya diluluskan selepas melalui sesi perbahasan lebih lima jam.

Rang undang-undang itu dibacakan untuk kali kedua oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam.

Pindaan akta itu akan membolehkan pemantauan dan pengawalan agensi pembekal tenaga buruh yang lebih sistematik, terutama di kawasan terpencil.

Selain itu, kementerian juga akan mempunyai rekod komprehensif pekerja bagi memudahkan urusan pemantauan. Semasa menggulung perbahasan rang undang-undang tersebut, Dr Subramaniam berkata pendaftaran sub-kontraktor dengan kementerian juga dapat memastikan penyumberan luaran tidak menjadi satu budaya dalam sektor pekerjaaan.

"Lesen penyumberan luaran sebelum ini di bawah kuasa Kementerian Dalam Negeri...sekarang dah beku, tiada lesen baru...dengan pindaan akta ini, sub-kontraktor pencari pekerja perlu daftar dahulu dengan kementerian bagi memastikan perlindungan dapat diberi kepada pekerja," katanya.

Pengenalan peraturan berkenaan gangguan seksual pula, Dr Subramaniam berkata adalah untuk mengawal dari segi perhubungan antara majikan dan pekerja.

"Kalau di luar daripada itu...itu di luar skop Akta Kerja. Kita mahu wujudkan suasana yang baik di tempat kerja...ada prasarana yang sesuai," katanya.

Isu pendaftaran agensi pembekal tenaga buruh hangat dibahaskan oleh anggota Parlimen pembangkang yang mahu ia terus dihapuskan dan pengambilan pekerja serta kebajikan mereka diuruskan secara langsung oleh majikan.

Antara wakil pembangkang yang membangkitkan isu tersebut adalah Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kuala Langat), M.Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) dan (PSM-Sungai Siput).

"Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) juga tidak bersetuju dengan rang undang-undang ini dan sebab itu mereka mengadakan piket di hadapan Parlimen, Isnin lepas.

"Kita bercakap mengenai soal masa depan lebih 11 juta pekerja di negara ini. Jangan kementerian memandang ringan isu ini...saya harap kementerian akan menarik balik pindaan ini," kata Abdullah Sani.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang bangun mencelah berkata kementerian membuat pindaan selepas mengadakan banyak pertemuan dengan kesatuan sekerja termasuk pemimpin MTUC dari semasa ke semasa.

Khairy Jamaluddin Abu Bakar (BN-Rembau) berkata peruntukan di bawah rang undang-undang itu bukan untuk menggalakkan pengambilan pekerja secara kontrak, sebaliknya memastikan mana-mana sektor yang mempunyai ramai pekerja kontrak diberi perlindungan yang sewajarnya.

"Setahu saya, ia (pindaan) ini juga mendapat sokongan penuh Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang (NUPW) yang berharap selepas ini kontraktor tenaga kerja akan berdaftar dengan kementerian," katanya.

Persidangan dewan disambung hari ini. - BERNAMA

Artikel Lain