suria

Kelantan Tubuh Jawatankuasa Khas Teknikal Hudud - Nik Aziz

KOTA BAHARU: Kerajaan PAS Kelantan akan membentuk Jawatankuasa Khas Teknikal bagi mengkaji pelaksanaan hukum hudud daripada aspek teknikal sebelum menguatkuasakan hukum itu di negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mursyidul Am PAS itu berkata jawatankuasa itu perlu kerana pelaksanaan hukum itu membabitkan aspek teknikal walaupun undang-undang syariah melibatkan hudud telah lama diluluskan kerajaan negeri.

"Kita akan menubuhkan jawatankuasa khas teknikal sebelum melaksanakan hukum hudud di Kelantan, dan terpaksa mengambil masa sedikit," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di sini, Jumaat.

Kerajaan PAS Kelantan telah meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II yang melibatkan hukum hudud pada persidangan Dewan Undangan Negeri 1993 dan mendapat sokongan semua anggota, termasuk dua anggota pembangkang Barisan Nasional (BN).

Pada 25 Sept lepas, Nik Abdul Aziz berkata Kelantan yang berhasrat melaksanakan hukum hudud kini dalam usaha memasukkan enakmen hudud dalam senarai hukum di mahkamah syariahnya. -BERNAMA

Artikel Lain