suria

Jawatankuasa Khas Ditubuh Pantau Pelaksanaan Pelan Tindakan Pengurusan Air

KUALA LUMPUR: Sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menerajui dan memantau pelaksanaan Pelan Tindakan Bersama Pengurusan Bekalan Air Negara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Sumber Air Negara (MSAN) di bangunan Parlimen di sini Khamis, mesyuarat itu juga bersetuju agar kerajaan persekutuan serta semua kerajaan negeri menerima cadangan pelan tindakan itu.

Pelan itu antara lain bersangkutan dengan pengurusan sumber air, anggaran permintaan keperluan air, ramalan keperluan air domestik dan industri, keperluan air bagi pertanian dan hidrologi.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dihadiri oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui serta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas.

Menurut kenyataan itu lagi mesyuarat turut bersetuju supaya Dasar Sumber Air Negara (DSAN) yang berteraskan kepada tiga prinsip diterima pakai oleh kerajaan persekutuan serta semua kerajaan negeri bagi memastikan pengurusan sumber air yang bersepadu dan lestari. Prinsip pertama ialah jaminan sumber air terjamin bagi keperluan semasa dan akan datang untuk manusia, pengeluaran makanan, pemeliharaan alam sekitar dan keperluan industri.

Prinsip kedua ialah kelestarian sumber air untuk mengoptimumkan penggunaan dan meminimumkan pembaziran melalui kawalan dan perancangan kawasan tadahan melalui amalan terbaik pengurusan pembangunan sumber air dan lembangan sungai bersepadu.

Prinsip ketiga pula adalah urus tadbir secara bersama pihak berkepentingan adalah mustahak bagi memastikan kelestarian sumber air di samping menjamin pengagihan sumber air yang adil dan saksama.

Kenyataan itu turut menyebut mesyuarat tersebut juga membincangkan mengenai komitmen kerajaan persekutuan dan negeri dalam menguruskan sumber air secara bersepadu dalam memastikan kualiti sumber air berada dalam kategori minimum kelas II sebagai langkah memastikan bekalan air negara yang terjamin daripada segi kualiti dan kuantiti.

Selain itu, mesyuarat juga bersetuju semua kerajaan negeri dan Wilayah Persekutuan mewartakan tasik ladam sebagai rizab sungai. - BERNAMA

Artikel Lain