suria

Gagal Beri Keterangan: Eksekutif Akaun Didenda RM50,000

KUALA LUMPUR,: Seorang eksekutif akaun di sebuah syarikat pada Jumaat didenda RM50,000 atau dipenjara enam bulan, jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana gagal hadir bagi memberi keterangan kepada Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh membuat keputusan itu terhadap Normah Sapar, 37, selepas ibu kepada tiga anak itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Normah, didakwa atas dua pertuduhan kerana gagal hadir di hadapan Siti Azlina Abdul Rani untuk diperiksa secara lisan menurut notis bertarikh 5 Jun dan 6 Jun 2009, sebagaimana dikehendaki oleh Seksyen 134(1)(b) Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (Akta 498).

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, No.3, Persiaran Bukit Kiara, di sini pada 9 Jun dan 15 April 2009, mengikut Seksyen 134(5)Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 134(5) akta yang sama.

Sementara itu, peniaga, Chong Poh Ying, 39, dan eksekutif akaun di sebuah syarikat, Helen Soon Shiau Yen, 37, masing-masing didenda RM25,000 dan RM20,000 atau dipenjara tiga bulan, jika gagal membayar denda atas pertuduhan yang sama dengan Normah.

Chong dan Helen, mengaku bersalah kerana gagal hadir di hadapan Siti Azlina untuk diperiksa secara lisan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tempat yang sama pada 7 September dan 25 Jun 2009, mengikut akta yang sama.

Terdahulu, peguam J. Kuldeep Kumar yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon supaya hukuman penjara tidak dikenakan terhadap kesemua anak guamnya dan memberikan hukuman denda yang minimum kerana mereka telah mengaku salah dan ini menjimatkan masa dan kos mahkamah.

"Kesemua anak guam saya memohon maaf kerana tidak hadir bagi memberi keterangan kepada Suruhanjaya Sekuriti dan mereka menyesal atas perbuatan yang dilakukan di samping tidak mengetahui keseriusan kesalahan itu," katanya.

Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Sekuriti Geethan Ram Vincent memohon hukuman berat dikenakan terhadap kesemua tertuduh bagi mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan.

"Ketidakhadiran kesemua tertuduh untuk memberi keterangan kepada pegawai penyiasat telah menghalang penyiasatan yang melibatkan satu pasaran saham," katanya.

Pada 29 September lepas, di mahkamah yang sama, Normah didenda RM350,000 kerana meluluskan dan membantu dalam pemalsuan RM7.5 juta keuntungan Inix Technologies Holdings Bhd dalam lima prospektus syarikat berkenaan. -BERNAMA

Artikel Lain