suria

Bajet 2012: Peruntukan RM320 Juta Untuk Generasi Muda

KUALA LUMPUR: Bagi memperkasa golongan belia, kerajaan mengumumkan peruntukan berjumlah RM320 juta, khusus untuk melengkapkan generasi pewaris negara itu dengan aktiviti latihan dan kemahiran.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata untuk tujuan itu pelbagai aktiviti akan dijalankan antaranya latihan kemahiran, program kepimpinan, daya tahan dan keusahawanan di peringkat daerah dan negeri, termasuk sumbangan kepada Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Daerah.

"Sebagai generasi yang menyumbang dan merealisasi wawasan negara golongan itu perlu diperlengkap dengan latihan dan kemahiran bagi memastikan peranan mereka dalam pembangunan negara," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat di sini, Jumaat.

Najib berkata sebagai tanda prihatin terhadap suara nurani orang muda, kerajaan juga bersetuju untuk menubuhkan sebuah syarikat modal teroka milik kerajaan 'MyCreative Venture Capital', sebagai projek perintis dengan dana permulaan sebanyak RM200 juta.

"Potensi setiap golongan ini mestilah digembleng dan dioptimumkan, idealisme mereka mesti digilap, kreativiti mesti dipupuk dan bakat mereka dibajai untuk terus berkarya. "Kita perlu bertanya, jika dengan struktur pembiayaan sedia ada yang kaku dan tegar, adakah idea orang-orang seperti Bill Gates, mendiang Steve Jobs, Michael Dell, adik-beradik Wrights, Thomas Edison boleh berjaya," katanya.

Justeru, beliau berkata apa yang dilakukan hari ini adalah untuk masa depan anak muda negara.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan menyediakan dana berjumlah RM200 juta bagi tujuan latihan dan kemahiran belia yang tidak meneruskan pengajian persekolahan melalui Program Strategik untuk Belia 1Malaysia atau Strategic Action for Youth atau SAY 1Malaysia.

Najib berkata skim itu akan menyediakan pelbagai jenis latihan kemahiran yang dikendalikan oleh institusi sedia ada seperti Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Mara, Institut Latihan Perindustrian dan Giat Mara.

"Semasa latihan, pelatih akan diberi latihan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan syarikat swasta supaya mereka mudah mendapat pekerjaan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain