suria

Bajet 2012: Dana Pembiayaan PKS RM2Bilion Akan Diwujudkan

KUALA LUMPUR: Sebuah Dana Pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) patuh syariah berjumlah RM2 bilion akan diwujudkan pada 2012, demikian diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata dana yang bertujuan meningkatkan lagi sumbangan PKS kepada pertumbuhan ekonomi itu, akan dikendalikan oleh bank-bank Islam terpilih.

Kerajaan akan membiayai dua peratus daripada kadar keuntungan pembiayaan, katanya ketika membentangkan Belanjawan 2012 di Parlimen di sini, Jumaat.

Perdana Menteri berkata PKS menyumbang kira-kira 31 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK), 56 peratus kepada tenaga kerja dan 19 peratus kepada eksport negara.

Najib berkata kerajaan akan juga menyediakan RM100 juta bagi Dana Mempergiat PKS yang akan menawarkan pinjaman mudah hingga maksimum RM1 juta bagi usahawan menggiatkan semula perniagaan mereka.

Dana ini akan diuruskan oleh SME Bank dan akan ditawarkan mulai Januari 2012.

Najib berkata Dana Kecemasan PKS berjumlah RM10 juga akan diwujudkan untuk membantu PKS yang terjejas oleh bencana alam.

Kata beliau dana itu akan disalurkan kepada PKS dalam bentuk geran dan pinjaman mudah melalui SME Corp dan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF).

Skop pembiayaan dana akan meliputi pembelian mesin dan peralatan bagi menggantikan mesin dan peralatan yang musnah dalam bencana alam itu, membeli bahan mentah dan membaik pulih premis masing-masing, kata Najib.

Untuk membolehkan PKS mengkomersialkan hasil penyelidikan mereka, Kerajaan akan mewujudkan Dana Inovasi Pengkomersialan patuh syariah berjumlah RM500 juta dengan margin keuntungan yang menarik.

Dana ini akan membiayai PKS yang produknya telah melalui proses perakuan pengkomersialan pasaran.

Berkuatkuasa 2012, dana ini ditawarkan di bank-bank Islam, dengan pembiayaan sebanyak dua peratus kadar keuntungan dana oleh Kerajaan. -BERNAMA

Artikel Lain