suria

Bajet 2012: Caruman KWSP Majikan Akan Dinaikkan Kepada 13 Peratus

KUALA LUMPUR: Kerajaan mencadangkan agar caruman majikan dalam Kumpulan Wang Simpanan Perkerja (KWSP) dinaikkan kepada 13 peratus bagi pencarum yang menerima gaji bulanan RM5,000 dan ke bawah, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata kenaikan kadar caruman daripada 12 peratus sebelum ini akan memberi manfaat kepada 5.3 juta pencarum KWSP untuk meningkatkan simpanan mereka di hari tua.

"Kini pesara menghadapi kekurangan simpanan untuk menampung kos saraan hidup setelah bersara.

"Kajian menunjukkan hampir 70 peratus menghabiskan kesemua simpanan mereka dalam tempoh 10 tahun selepas bersara," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Sementara itu, Najib turut mencadangkan agar setiap caruman dalam Skim Persaraan Swasta diberi pelepasan cukai baru sehingga RM3,000 dan anuiti insurans selama 10 tahun.

"Dengan ini, pelepasan cukai sedia ada ke atas Skim Persaraan Swasta dan anuiti insurans dirasionalkan," katanya.

Dalam Belanjawan 2011, kerajaan telah mengumumkan pelepasan cukai sehingga RM6,000 untuk caruman KWSP dan memperluas insurans hayat bagi meliputi caruman kepada Dana Pencen Swasta yang kini dikenali sebagai Skim Persaraan Swasta.

Najib juga mencadangkan agar potongan cukai dilakukan ke atas caruman majikan bagi pekerja dalam Skim Persaraan Swasta selain mengecualikan cukai ke atas pendapatan dana skim tersebut. -BERNAMA

Artikel Lain