suria

Ubat Dijual Secara Haram Dirampas

JAKARTA: Agensi penguatkuasaan Indonesia merampas sejumlah 57 jenis ubat, kebanyakannya ubat perangsang seks, bernilai Rp82 juta (US$9,184) yang dipasarkan secara haram melalui atas talian (online).

Ubat-ubat yang dirampas oleh Badan Pengawasan Ubat dan Makanan (BPOM) itu dipasarkan di 30 laman web.

BPOM bekerjasama dengan polis tempatan dan Interpol dalam menjalankan operasi kawalan 'Pangea' selama seminggu di 81 negara seluruh dunia dari 20 hingga 27 Sept tahun ini.

Ini merupakan tahun pertama Indonesia bekerjasama dalam operasi tahunan itu, yang dijalankan sejak 2008.

"Dua puluh enam jenis adalah ubat untuk lemah tenaga batin bagi lelaki, 10 jenis ubat libido untuk wanita, tujuh ubat anestetik, 12 ubat tradisional, lima ubat kurus, tujuh produk minyak urut dan dua adalah makanan tambahan," kata ketua BPOM Kustantinah kepada media tempatan pada Rabu.

Menurut senarai yang diedar kepada pemberita, kebanyakan ubat yang dirampas adalah jenama dari China dan kebanyakannya diedar di kawasan Tanjung Duren, Jakarta Timur, di Palmerah di Jakarta Barat dan Cikokol di Jakarta.

BPOM juga melaporkan bahawa badan itu telah merampas 21 jenis produk herbal tradisional Indonesia, yang dikenali sebagai jamu, dan memberi amaran kepada orang ramai untuk lebih berhati-hati dalam menggunakan jamu.

Jumlah produk jamu yang mengandungi bahan kimia bagaimanapun menurun dalam tempoh lima tahun lepas, kata agensi itu.

"Hanya 0.72 peratus produk jamu di pasaran tahun ini mengandungi bahan kimia," kata Kustantinah.

Sementara itu, Ketua Gabungan Pengusaha Jamu Indonesia Charles Saerang berkata semua produk jamu mengandungi bahan kimia yang dijual di pasaran adalah jenama luar negara. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain