suria

Senarai Nama Peserta Program Kupon Makanan Perlu Diperhalusi - Rohani

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memperhalusi senarai nama rakyat miskin sebelum kaedah 'food coupon' boleh dilaksanakan di negara ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Khamis.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Abdul Karim berkata senarai itu perlu dikemas kini agar mengandungi maklumat yang tepat mengenai golongan yang benar-benar perlu dibantu.

"Kita pernah hendak laksanakan program seperti SUBUR (Program Subsidi Beras Untuk Rakyat) sebelum ini. Tapi banyak aduan yang kita terima, ada banyak nama yang tidak patut ada dalam senarai. Saya harap semua pihak tidak kira kerajaan Barisan Nasional atau pembangkang dapat sama-sama bantu supaya senarai ini dikemaskini.

"Cadangan 'food coupon' ini akan dipertimbangkan tapi perlu diperhalusi," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) yang ingin tahu sama ada kaedah tersebut akan dilaksanakan bagi membantu golongan miskin, berbanding pemberian subsidi yang dinikmati semua pihak.

Selain itu, Rohani juga berkata cadangan meneruskan kempen kawalan harga barangan di musim perayaan sepanjang masa perlu mengambil kira kepentingan para pengeluar.

Bagaimanapun, beliau berkata pengguna perlu bijak semasa membeli dan membuat perbandingan harga agar tidak berbelanja melebihi kemampuan mereka.

"Gunakan portal 1Pengguna untuk cari kedai yang jual harga terbaik. Memanglah kadang-kadang harga mahal tapi ada supermarket dan hypermarket yang tawarkan harga rendah untuk jadi alternatif," katanya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan asal Datuk Abd Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam), Rohani berkata antara usaha kerajaan membantu rakyat berpendapatan rendah menangani kenaikan kos sara hidupa ialah mengawal harga barang keperluan asas seperti gula, tepung gandum dan minyak masak.

Selain itu, kerajaan juga mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia dan menganjurkan Kempen Penurunan Harga dengan kerjasama pasar raya, katanya.

"Jawatankuasa kabinet Bekalan dan Harga yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri dan dianggotai kementerian-kementerian dan agensi berkaitan juga ditubuhkan.

"Ia berfungsi mengenal pasti mekanisma bagi mengatasi masalah gangguan bekalan dan isu kenaikan harga barangan keperluan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain