suria

Polis Kuantan Banteras Iklan Ceti Haram

KUANTAN: Polis Pahang pada Khamis bertindak tegas dengan menurunkan poster-poster ceti haram atau 'Ah Long' yang dipasang berleluasa di sekitar bandar Kuantan.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusof berkata 261 iklan 'Ah Long' telah diturunkan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPD Kuantan dalam operasi bersepadu bersama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) pada Khamis.

Beliau memberitahu pemberita di sini, operasi kali ini dijalankan di sekitar pusat bandar, kawasan Air Putih, Indera Mahkota, Semambu termasuk taman-taman perumahan di sini dan akan diteruskan dari semasa ke semasa serta diperluas sehingga pemberi pinjaman menghentikannya kegiatan mereka.

Polis, katanya akan bertindak membanteras habis-habisan operasi ceti haram di bandar ini.

"Mereka (ceti haram) bukan sekadar melekatkan pelekat iklan bersaiz kecil tapi semakin berani dengan memasang poster bersaiz besar di tempat-tempat awam di sini bagi menarik perhatian orang ramai," katanya.

Mohd Jasmani berkata perbuatan menampal pelekat atau poster iklan perkhidmatan pinjaman wang di tempat awam menjadi kesalahan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 (pindaan 2011) yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta dan minimum RM250,000. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain