suria

Pengambilan Balik Tanah Di Pulau Indah Dibuat Kerana Kos Lebih Murah - Saksi

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa Kementerian Kewangan mencadangkan cara perolehan tanah bagi melaksanakan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dibuat menerusi pengambilan balik kerana kosnya lebih rendah berbanding pembelian.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Abdul Rahim Mokti berkata keputusan pengambilan tanah seluas 400 hektar di Pulau Indah itu juga dibuat bagi mendapatkan harga tanah lebih murah.

"Kementerian Kewangan berpandangan pengambilan balik tanah adalah lebih baik kerana kita boleh mendapatkan harga tanah lebih murah serta ia akan kelihatan lebih telus," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Abdul Rahim berkata keputusan untuk mendapatkan tanah melalui kaedah pengambilan balik dibuat pada 12 Jun, 2001.

Biarpun Kementerian Kewangan memutuskan perolehan tanah melalui cara pengambilan balik, Abdul Rahim berkata beliau tidak menolak usul baru Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) yang ingin mengemukakan cadangan perolehan tanah itu dibuat melalui pembelian. "Cadangan pengambilan balik tanah merupakan cadangan saya tetapi LPK juga ingin mengemukakan cadangan baru untuk membeli tanah tersebut, namun tidak semestinya Kementerian Kewangan akan bersetuju dengan cadangan LPK itu," kata Abdul Rahim.

Beliau merupakan saksi ke-13 pendakwaan bagi perbicaraan kes bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling liong Sik, yang didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada jemaah menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894, yang berasaskan RM25 sekaki persegi iaitu RM1,088,456,000, sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dalam menentukan kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon dan faedah.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada jemaah menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling, 68, didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 Sept dan 6 November 2002.

Abdul Rahim menjelaskan beliau mengesyorkan tanah itu diperoleh melalui pengambilan balik memandangkan tanah itu mempunyai banyak bebanan.

"Bebanan yang dimaksudkan adalah kaveat-kaveat terhadap tanah itu dan tanah tersebut adalah di bawah pejabat harta dan telah dicagar.

"Selain itu, tanah berkenaan juga mempunyai hutang bank sebanyak RM350 juta oleh tuan tanah iaitu Kuala Dimensi Sdn Bhd," kata Abdul Rahim.

Beliau mengakui Dr Ling ada menyarankan agar penilaian tanah haruslah berasaskan nilaian daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta sama ada ia diperoleh menerusi pembelian atau pengambilan balik. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain