suria

Pembangkang Bantah Bersih Dihalang Sertai Pendengaran Awam

KUALA LUMPUR: Tiga ahli Parlimen Pembangkang pada Khamis membantah kenyataan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berhubung halangan penglibatan pertubuhan tidak berdaftar, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dalam sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas yang dijangka diadakan November depan.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli berkata, Ongkili sebagai pengerusi jawatankuasa berkenaan tidak berhak untuk menentukan sama ada sesuatu pertubuhan itu layak ataupun tidak menyertai sesi pendengaran awam.

Jelas beliau, keputusan berhubung perkara berkenaan sepatutnya dibuat secara bersama menerusi mesyuarat pertama jawatankuasa yang dianggotai sembilan ahli Parlimen pada Rabu depan.

"Belumpun mesyuarat pertama diadakan, bagaimana beliau (Ongkili) boleh buat keputusan untuk menghalang Bersih sertai pendengaran awam ini?

"Mengapa nak halang penglibatan Bersih kerana rakyat tahu kewujudan jawatankuasa ini juga hasil daripada perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Khamis.

Hadir sama pada sidang media berkenaan ialah seorang lagi anggota jawatankuasa itu daripada DAP iaitu Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke.

Selain itu, Dr Hatta turut mempertikaikan tindakan Ongkili apabila mengumumkan jumlah untuk diadakan proses pendengaran awam tanpa persetujuan bersama.

"Kenapa beliau terus tetapkan untuk diadakan enam kali tanpa dibentangkan dalam mesyuarat?

"Saya ingin ingatkan bahawa beliau hanya pengerusi jawatankuasa...beliau tidak boleh bertindak seperti seorang menteri di kementerian. Lagipun ini adalah jawatankuasa yang dianggotai ahli Parlimen kerajaan, pembangkang dan bebas," katanya.

Pada Rabu, Ongkili memaklumkan bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas berkenaan dijangka akan mengadakan pendengaran awam sekurang-kurangnya di enam kawasan iaitu di Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak, kawasan utara, selatan dan di pantai timur.

Beliau berkata semua pihak termasuk individu, pertubuhan serta organisasi berdaftar layak untuk mengemukakan memorandum cadangan mengenai penambahbaikan sistem pilihan sedia ada.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain