suria

Majlis Tindakan Sosial Perlu Diwujudkan Di Setiap Negeri - Shahrizat

MELAKA: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil meminta setiap negeri mewujudkan Majlis Tindakan Sosial bagi menangani isu sosial dengan lebih berkesan.

Beliau berkata melalui majlis itu, semua isu berkaitan sosial dan kebajikan boleh dibawa terus ke Majlis Tindakan Sosial peringkat kebangsaan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil secara bersepadu dan menyeluruh.

Katanya selain itu, jalan penyelesaian dapat dilakukan secara terancang disusuli tindakan dan bajet yang telah dikhaskan untuk setiap kerajaan negeri bagi mengatasi mana-mana masalah sosial dan isu kebajikan.

Melaka adalah negeri pertama yang mewujudkan majlis tindakan tersebut, katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Sukarelawan Muda-Mudi Jiwa Malaysia di sini, Khamis.

"Berbeza dengan negeri yang tiada majlis tersebut, segala isu (diselesaikan) hanya melalui Exco negeri yang menjaga isu kebajikan dan sosial dan biasanya mengambil masa yang lama," katanya. Sementara itu, Shahrizat berkata Program Sukarelawan Muda-Mudi Jiwa Malaysia yang dianjurkan oleh Institusi Sosial Malaysia (ISM) telah berjaya melahirkan 1,672 orang sukarelawan pada tahun lepas.

"Tujuan penganjurannya adalah untuk memupuk semangat kesukarelawan di kalangan muda-mudi supaya mereka akan menjiwai semangat tersebut dan membuat kerja-kerja pembangunan sosial di dalam komuniti mereka.

"Program ini juga memberi kemahiran dan kesedaran di dalam diri golongan belia tentang peranan dan tanggungjawab sebagai sukarelawan serta pendedahan untuk mengenali diri, memahami komuniti persekitaran ke arah menyumbang bakti kepada masyarakat dan negara," katanya.

Seramai 600 guru pelatih dari Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu Melaka menyertai program itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain