suria

Kuala Perlis Bakal Jadi Bandar Maritim

KANGAR: Pekan Kuala Perlis bakal dijadikan bandar maritim sejajar dengan hasrat menjadikan kawasan itu sebagai pusat pendaratan ikan utama di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi Perlis Sabry Ahmad berkata kerajaan negeri telah memohon peruntukan RM300 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-11 bagi merealisasikan hasrat itu.

Sepanjang tahun lalu, sebanyak 160,000 tan metrik bernilai RM710 juta didaratkan 6,200 nelayan di situ, katanya berucap merasmikan Seminar Kesedaran Pengurusan Sumber Perikanan, di sini, Khamis.

Beliau berkata cabaran utama yang dihadapi industri perikanan hari ini ialah pencemaran dan penggunaan pukat rawa surung yang diharamkan, kerana memusnahkan sumber ikan di perairan Perlis dan Kedah.

Kajian menunjukkan terdapat pengurangan ketara sumber ikan di perairan Kedah dan Perlis bagi tempoh 1971 hingga 2004, yang mana densiti ikan menurun lima kali ganda daripada 2.56 tan metrik sekilometer persegi kepada 0.58 tan metrik, katanya.

Katanya kerajaan negeri juga bercadang menubuhkan 'Rakan Fish' membabitkan nelayan sendiri menjadi sumber yang menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika terdapat kegiatan yang boleh mengancam hasil laut.

Beliau berkata sejak awal tahun ini, Jabatan Perikanan membelanjakan RM300,000 bagi membina tukun tiruan di perairan Perlis sebagai tempat pembiakan ikan.

Selain itu, kawasan tumbuhan pokok bakau juga sentiasa dijaga agar tidak diceroboh kerana kawasan itu juga menjadi tempat ikan membiak, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain