suria

Empat Penuntut UiTM Machang Maut Kemalangan

MACHANG: Hasrat lima penuntut untuk melepaskan tekanan selepas tamat peperiksaan bertukar tragedi apabila kereta yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di KM4.2 Jalan Machang-Pasir Puteh pada Khamis, mengakibatkan empat daripada mereka maut.

Dalam kejadian pada pukul 5.30 pagi itu Mohd Shamil Malik, dari Batu Pahat, Johor dan Mohd Rizal Mohd Zain, dari Kluang, Johor, mati di tempat kejadian.

Sementara Mohd Faizuddin Jamil, 19, dan Sazuan Rosli, 19, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dekat sini, kata Ketua Polis Daerah Machang DSP Malek Bedut kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau berkata kesemua penuntut berusia 19 tahun itu merupakan penuntut tahun dua dan tiga jurusan seni reka tangan halus di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Machang.

Mohd Faizuddin dan Sazuan pada awalnya mengalami cedera parah telah dihantar ke Hospital Machang untuk menerima rawatan, dan kemudian dipindahkan ke HUSM untuk mendapatkan rawatan rapi akibat kecederaan mereka.

Beliau berkata Mohd Faizuddin meninggal pada 4.30 petang dan Sazuan meninggal dunia sebaik diberikan rawatan kecemasan di HUSM.

Malek berkata sementara seorang pelajar Haziz Jailani dari Batu Pahat, diberi rawatan pesakit luar di Hospital Machang.

Difahamkan lori berkenaan cuba membuat pusingan-u sebelum kemalangan itu berlaku dalam keadaan gelap. Pemandu lori itu tidak cedera.

Seorang rakan kumpulan penuntut itu, Mohd Fakaruddin Mahyi, 19, memberitahu pemberita mereka baru tamat peperiksaan dan ingin melepaskan tekanan peperiksaan di Pantai Cahaya Bulan, Kota Baharu. Mohd Fakaruddin berkata pada mulanya dia bercadang mengikuti rombongan itu tetapi membatalkannya kerana kereta Perodua Kenari berkenaan telah penuh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain