suria

Belanjawan Berhemah Penting Untuk Penjawat Awam

PETALING JAYA: Penyelarasan gaji yang lebih baik adalah antara yang sangat diharapkan oleh dua penjawat awam yang berkhidmat di Kementerian Kewangan.

Ketua Pembantu Tadbir, Siti Rohaidah Salim, 44, berkata dia berharap agar kerajaan akan mengumumkan kenaikan gaji pada pembentangan Belanjawan 2012 bagi menampung kenaikan kos sara hidup.

Walaupun dia dan suaminya yang bekerja Ketua Pembantu Tadbir di Kementerian Pelajaran mereka hanya mempunyai pendapatan isi rumah kira-kira RM5,500 sebulan.

Ibu kepada lima cahaya mata yang berusia antara lima hingga 18 tahun ini berkata dia terpaksa menggunakan wang simpanan untuk menampung perbelanjaan harian keluarga mereka.

“Lebih daripada separuh pendapatan isu rumah yang diperoleh terpaksa dibelanjakan untuk membeli barangan runcit seperti, beras, gula dan minyak masak,” kata Siti Rohaidah.

Dia yang tinggal di kuarters kerajaan di Presint 16 Putrajaya berkata anak-anaknya hanya berjalan kaki ke sekolah kerana jaraknya dekat.

“Kami terpaksa mengupah pembantu rumah dengan bayaran RM400 sebulan untuk menjaga anak-anak. Namun pada masa yang sama saya perlu bangun seawal pukul 5 pagi untuk memasak dan membawa bekal ke tempat kerja setiap hari. Ini adalah lebih baik dan saya dapat menyimpan wang pada masa yang sama,” katanya.

Sementara itu, rakan sekerjanya, Mohd Salleh Osman, 43, berkata dia hanya mampu menampung perbelanjaan keluarga dengan wang sejumlah, RM800 selepas membayar pinjaman ansuran kereta dan pinjaman peribadi.

Dia yang bekerja sebagai pembantu tadbir mengakui terpaksa mengurangkan aktiviti hiburan.

“Kami tidak melanggan stesen televisyen satelit berbayar dan perkhidmatan Internet di rumah. Jika kami mahu melayari Internet kami akan pergi ke restoran yang menawarkan perkhidmatan WiFi secara percuma.

Mohd Salleh dan isteri bersama anak perempuannya yang berusia 13 tahun tidak pergi melancong sebaliknya mereka hanya pulang ke kampung di Muar, Johor untuk menyambut Hari Raya.

Dia berkata agak sukar untuk menyimpan namun dia bersyukur kerana tinggal di kuarters kerajaan dengan jarak untuk ke pejabatnya kurang daripada 30 minit.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain