suria

Aspek Hukuman Perlu Diberi Penekanan Dalam Perkhidmatan Awam - Sidek Hassan

KUANTAN: Pengurusan modal insan yang efektif dalam perkhidmatan awam tidak seharusnya tertumpu kepada aspek ganjaran semata-mata tetapi juga aspek hukuman terhadap anggota yang melakukan kesalahan dan melanggar peraturan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata langkah itu akan dapat memberi pengajaran dan iktibar kepada anggota lain agar tidak melakukan kesalahan yang boleh menjejaskan integriti dan kredibiliti perkhidmatan.

Bagi membentuk perkhidmatan awam yang lebih berprestasi tinggi, katanya perlu diwujudkan "polisi keluar" yang jelas bagi anggota yang bermasalah, tidak berdisiplin atau tidak menunjukkan prestasi perkhidmatan yang sepatutnya.

"Aspek ini perlu dikaji untuk dimantapkan lagi pelaksanaannya, mahupun mendapatkan kaedah yang terbaik bagi melepaskan anggota-anggota yang bermasalah dari terus berkhidmat di dalam perkhidmatan awam," katanya ketika berucap pada majlis penutup Persidangan Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam di sini, Khamis.

Turut hadir ialah Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri. Mohd Sidek berkata bagaimanapun sebarang tindakan yang diambil hendaklah telus dan adil bagi mengelakkan sebarang penganiayaan.

Ketua Setiausaha Negara juga mahu proses pemilihan pegawai untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam perlu lebih ketat agar mereka yang terpilih betul-betul membanggakan perkhidmatan itu.

Katanya pemilihan hendaklah berdasarkan merit iaitu mereka yang mempunyai pengetahuan, kemahiran, berketerampilan dan sikap yang sesuai.

"Ini kerana pegawai-pegawai yang dipilih pada hari ini adalah penentu hala tuju perkhidmatan awam serta negara dalam tempoh 30 tahun akan datang," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain