suria

Akta Pendidikan Bahasa Ibunda & Agama Mencukupi - Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR: Peruntukan sedia ada di bawah Akta Pendidikan 1996 berkaitan pendidikan bahasa ibunda dan agama adalah memadai dan mampu memenuhi keperluan sistem pendidikan negara.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata peraturan yang termaktub di Malaysia membuktikan kerajaan tidak pernah menganaktirikan mana-mana pihak, justeru soal akta berkaitan kesamarataan tidak perlu dibangkitkan.

Jelasnya, seksyen 50 dan 51 Akta Pendidikan memperuntukkan keperluan pembelajaran agama di institusi pendidikan. "Pekeliling Ikhtisas Bil 4/2011 pula membenarkan pelaksanaan pengajaran Bible Knowledge untuk pelajar Kristian di sekolah kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan selepas waktu persekolahan," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan S.Manickavasagam (PKR-Kapar) yang ingin tahu sama ada kementerian akan menggubal Akta Kesamarataan Pendidikan supaya pendidikan bahasa ibunda dan agama tidak didiskriminasi.

Mohd Puad berkata kementerian juga tidak meminggirkan bahasa ibunda dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah termasuk bahasa etnik.

"Bahasa ibunda dijadikan bahasa penghantar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

"Kementerian juga tawarkan bahasa etnik bagi memenuhi kehendak golongan minoriti tertakluk kepada keupayaan kementerian termasuk bahasa Iban, Kadazan Dusun dan Semai," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain