suria

Tiada Tembakan Gas Pemedih Mata Di Hospital Tung Shin

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati tidak berlaku tembakan gas pemedih mata oleh anggota polis ke dalam kawasan Hospital Tung Shin (HTS) ketika perhimpunan haram di ibu negara pada 9 Julai lepas.

Sebaliknya, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Kamarul Zaman Md Isa mengesahkan tembakan gas pemedih mata tersebut berlaku di tempat letak kereta awam yang terletak di luar kawasan hospital berkenaan.

Beliau berkata siasatan mendapati insiden lontaran bom asap juga tidak berlaku berlaku di dalam kawasan HTS tetapi di kawasan Hospital Bersalin Cina (CMH) yang pentadbirannya berasingan daripada HTS.

"Pihak CMH sebenarnya telah memberhentikan operasinya semenjak September 2006, kerana akan membuat pengubahsuaian secara makro atau menyeluruh terhadap keseluruhan premisnya yang akan bermula pada Disember tahun ini," katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata sungguhpun demikian, KKM memandang serius kejadian itu dan akan membawa ke perhatian Kementerian Dalam Negeri untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat melakukan lontaran bom asap agar ia tidak berulang.

Laporan itu mendapati berlaku semburan air oleh anggota polis ke arah penunjuk perasaan yang berkumpul di kawasan parkir kenderaan bertingkat dan pintu masuk utama HTS.

"Sesungguhnya demikian, tindakan oleh anggota polis itu semata-mata untuk menyuraikan kelompok penunjuk perasaan yang sedang berkumpul di dalam kawasan HTS," katanya.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman memaklumkan tiada sebarang aduan rasmi dibuat oleh mana-mana in-house patient ataupun 'penjaga' kepada in-house patient ataupun 'pelawat' kepada in-house patient kepada pihak pengurusan HTS terhadap sebarang kecederaan, kacau ganggu ataupun trauma ekoran insiden itu.

Namun, katanya berlaku kerosakan pada pagar sebelah tempat parkir kenderaan HTS akibat rempuhan oleh para penunjuk perasaan. Bagaimanapun, beliau berkata tiada sebarang gangguan berlaku terhadap operasi dan pengurusan di HTS pada hari berkenaan.

Pada 14 Julai lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Siasatan Dalaman Peringkat Tertinggi KKM dan pada keesokan harinya, jawatankuasa untuk menyiasat dakwaan insiden tembakan gas pemedih mata dan semburan air di HTS ditubuhkan di peringkat kementerian.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Kamarul Zaman dan dianggotai enam pegawai pengurusan peringkat tertinggi dan pegawai kanan kementerian termasuk Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Hasan Abd Rahman.

Ia turut dianggotai oleh Penasihat Undang-Undang KKM Mohamad Fazin Mahmud, Pengarah Bahagian Amalan Perubatan KKM Dr Ahmad Razid Salleh, Setiausaha Majlis Perubatan Malaysia KKM Dr Wan Mazlan Mohamed Woojdy dan Ketua Komunikasi Korporat KKM Zailani Hashim.

Matlamat utama penubuhan jawatankuasa itu adalah untuk menyiasat secara teliti mengenai dakwaan wujudnya semburan air dan tembakan pemedih mata ke arah HTS semasa perhimpunan haram terbabit.

Kaedah siasatan yang telah dijalankan oleh jawatankuasa ini adalah melalui pengumpulan maklumat dan input secara primer, skunder, perbincangan dengan pihak pengurusan tertinggi HTS, lawatan ke lapangan dan inkuiri terhadap tujuh orang iaitu enam kakitangan dan seorang doktor perubatan yang bertugas sebagai saksi terhadap dakwaan insiden berkenaan. -BERNAMA

Artikel Lain