suria

Rompak ATM: Polis Tahan Tiga Lelaki, Buru Seorang Lagi

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki tempatan dan masih memburu seorang lagi rakan mereka setelah terlibat dalam samun bersenjata dan melarikan RM61,400 dari sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Jalan Segambut bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata ketiga-tiga suspek berusia antara 22 dan 25 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Batu Caves, Gombak di sini pada 28 September lalu.

"Dalam kejadian pada kira-kira 3.30 petang 10 Sept lepas, dua pekerja syarikat bank membuka mesin ATM yang rosak untuk dibaiki sebelum dihampiri dan diacukan pistol oleh dua lelaki yang seorang daripadanya memakai helmet vizor gelap dan seorang lagi memakai topeng.

"Suspek kemudian merampas beg silang yang mengandungi sepucuk pistol revolver dan lima butir peluru dari seorang pekerja itu, yang juga merupakan pengawal keselamatan," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Ku berkata suspek kemudian mengarah mangsa membuka peti deposit tunai mesin sebelum melarikan wang tunai itu dengan menaiki dua buah motosikal bersama dua lagi rakan mereka yang menunggu di hadapan bank itu.

Beliau berkata hasil siasatan terhadap mereka, polis dibawa ke kawasan pembuangan sampah di kawasan flat itu oleh seorang daripada suspek.

"Di situ, polis menemui dua pucuk pistol, satu yang digunakan untuk merompak ATM berkenaan dan satu lagi milik pengawal keselamatan bank itu," katanya.

Beliau berkata polis kini memburu seorang lagi suspek iaitu Al-Syahfarin Ahmad, 26, yang beralamat di Batu 23 1/2, Jalan Sahom, Sungai Siput Selatan, Kampar, Perak dan Flat Taman Desa, Batu Caves 1, bagi membantu siasatan kes itu.

Katanya kumpulan perompak itu, yang turut dianggotai bekas pengawal keselamatan, turut terlibat dalam beberapa lagi kes samun ATM termasuk di Tanjung Malim dan Kuala Kubu Baru.

"Modus operandi mereka ialah dengan mensabotaj mesin ATM bagi merosakkannya dan apabila juruteknik atau pekerja membuka mesin ATM untuk dibaiki, mereka datang dan merompak," katanya.

Dalam pada itu, Ku menafikan laporan akhbar pada 28 September lalu bertajuk 'Ibu Tiri Ibu Ayam' mengenai seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang mendakwa dilacurkan oleh ibu tirinya.

"Laporan akhbar terbabit adalah tidak benar... remaja itu sebenarnya ke Hospital Kuala Lumpur kerana sakit perut tetapi doktor tersilap dengan mengatakan dia mengandung.

"Remaja itu panik dan ketakutan lalu menipu dengan mengatakan dia dilacur ibu tirinya apabila doktor mahu menahan dia di wad hospital berkenaan," katanya.

"Kita berjaya mengesan remaja itu dan dia mengaku bahawa cerita itu direka kerana dia panik dan mempunyai hubungan dengan lelaki... malah dia tidak mempunyai ibu tiri.

"Bagaimanapun hasil ujian kehamilan sekali lagi menunjukkan remaja itu tidak mengandung," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain