suria

Reformasi Pilihan Raya: Pendengaran Awam Bermula November

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen akan mengadakan sesi pendengaran awam bagi mengumpul maklum balas mengenai penambahbaikan sistem pilihan raya di negara ini bermula November depan.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, proses pendengaran awam tersebut akan diadakan sekurang-kurangnya di enam bahagian di seluruh negara bermula di sini.

"Kita jangkakan minggu ketiga bulan November akan diadakan sesi pendengaran awam di enam kawasan iaitu di Sabah, Sarawak, bahagian utara, selatan, timur dan juga di Kuala Lumpur.

"Dan kita harap sesi berkenaan akan dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada Disember," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Rabu.

Selain itu Ongkili yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata mesyuarat pertama Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut akan diadakan pada Rabu depan.

Menurut beliau, agenda utama pada mesyuarat pertama tersebut akan memfokuskan mengenai terma dan peraturan mengenai hala tuju jawatankuasa itu yang meliputi empat aspek iaitu peraturan pilihan raya, proses pilihan raya, daftar pemilih dan memperkasakan institusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sementara itu ditanya sama ada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dibenar untuk mengambil bahagian dalam sesi pendengaran awam tersebut, Ongkili berkata ia hanya terbuka kepada pertubuhan atau organisasi berdaftar ataupun individu perseorangan.

Ini kerana menurut beliau, pendengaran awam berkenaan merupakan prosedur di bawah peraturan mesyuarat Dewan Rakyat dan segala maklumat akan direkodkan dalam hansard Parlimen.

"Bersih bukan pertubuhan berdaftar, tapi kalau Datuk S. Ambiga (Pengerusi Bersih) datang sebagai individu kita benarkan dan begitu juga pertubuhan-pertubuhan lain.

"Pendengaran awam adalah proses Parlimen, semua yang diperkatakan akan direkodkan dalam hansard Parlimen.

"Sebab itu hanya sesetengah orang layak untuk tampil, ini adalah seperti sidang Parlimen, perlu ikut aturan mesyuarat," katanya.

Dalam pada itu Ongkili berkata orang awam juga berpeluang mengemukakan cadangan dan pandangan mereka dalam bentuk memorandum, sistem khidmat pesanan ringkas (sms) atau email Parlimen.

Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut dianggotai sembilan wakil rakyat daripada kerajaan, pembangkan dan bebas.

Lima wakil Barisan Nasional (BN) ialah Ongkili yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu mewakili Sabah dan kaum Kadazan; Ahli Parlimen Kapit mewakili Sarawak dan kaum Iban, Datuk Alexander Nanta Linggi.

Ahli Parlimen Kangar juga wakil Umno dan kaum Melayu, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad; Ahli Parlimen Alor Gajah wakil MCA dan kaum Cina, Tan Sri Dr Fong Chan Onn serta Ahli Parlimen Hulu Selangor yang juga wakil MIC dan kaum India, P Kamalanathan.

Bagi pakatan pembangkang, masing-masing diwakili oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali; Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli (PAS) dan Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke (DAP).

Manakala Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong pula wakili konsensus Bebas.

Ogos lalu, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang dianggotai wakil BN, parti pembangkang dan Bebas untuk membincangkan reformasi pilihan raya yang perlu dilakukan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Perdana Menteri berkata, ia bagi membolehkan kata sepakat dicapai untuk mengendalikan pilihan raya akan datang tanpa sebarang perasaan syak wasangka kononnya kerajaan melakukan manipulasi seperti yang dipertikaikan pembangkang dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Artikel Lain