suria

Perjuangan Kesejahteraan Ummah Bukan Berteraskan Demonstrasi - Titah Sultan Kedah

ALOR SETAR: Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah perjuangan membina kesejahteraan ummah hendaklah berteraskan kesejahteraan negara dan bukan ditonjolkan dalam bentuk demonstrasi, kekerasan dan keganasan.

Menurut baginda matlamat perjuangan itu untuk mencapai kemakmuran, kebajikan dan kelangsungan ummah perlu dirancang, dilaksanakan dan dinilai dengan penuh hikmah dengan cara bijaksana.

"Anggaplah usaha memberikan sumbangan kepada pembangunan insan, ummah dan negara sebagai satu wadah perjuangan yang menuntut pengorbanan besar.

"Kita tidak boleh bertoleransi dengan sebarang penolakan atau cubaan menggagalkan cita-cita murni ini," titah baginda pada istiadat konvokesyen ke-13 Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di sini, Rabu.

Baginda, yang juga Canselor KUIN, bertitah usaha mendalami dan menguasai kemahiran baru mestilah dilakukan berterusan dan tidak seharusnya terhenti sebaik tamat pengajian di universiti.

Mengenai KUIN, Sultan Kedah bertitah usaha menjadikannya sebagai universiti yang komprehensif akan meletakkan KUIN di landasan yang betul.

"Beta berharap KUIN akan terus menyemarakan falsafah ilmu, sentiasa disuburkan dan dipertAhankan tanpa kompromi supaya ia menyerlah, dihormati dan dihargai dalam dunia ilmu.

"Dalam soal ini KUIN wajar mendapatkan lebih ramai sarjana terkemuka bertaraf antarabangsa berkhidmat dengannya bagi mencetus impak yang diharapkan," titah baginda.

Menurut baginda kejayaan KUIN menarik lebih 1,000 pelajar asing dari 37 negara merupakan satu pencapaian yang membanggakan dengan usia yang masih muda.

Pada istiadat itu baginda menyampaikan ijazah kehormat Doktor Falsafah (PhD) (Pembangunan Komuniti) kepada anakanda baginda, Tunku Putri Intan Safinaz, 45, manakala ahli sains sosial yang juga bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Datuk Dr Abdul Hamid Ahmad Abu Sulayman, 75, dianugerahkan PhD Pendidikan Islam.

Seramai 738 graduan menerima ijazah dan diploma. -BERNAMA

Artikel Lain