suria

Peniaga Dituduh Pecah Amanah

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, Rabu terhadap dua pertuduhan pecah amanah membabitkan wang tunai RM15,500 bulan lepas.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohammad Azrin Jizam, 25, dari Petaling Jaya, didakwa melakukan pecah amanah wang tunai RM14,800 yang telah diamanahkan oleh rakannya Mohamad Faisal Dhoulat Khan, 24, untuk ditukarkan kepada mata wang Renminbi (mata wang negara China).

Kesalahan itu dilakukan di perkarangan sebuah kondominium di Jalan Duta Mas, Taman Segambut di sini pada 11.30 pagi 25 September.

Bagi pertuduhan kedua, Mohammad Azrin didakwa melakukan pecah amanah melibatkan wang tunai RM700 terhadap Mohamad Faisal bagi tujuan yang sama di Maybank cawangan Batu Cantonment 3, Jalan Ipoh, Sentul di sini pada 11.48 malam pada tarikh yang sama.

Kedua-dua pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Majistret Mohd Azali Ibrahim membenarkan Mohammad Azrin diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 9 November ini untuk sebutan kes. -BERNAMA

Artikel Lain