suria

Pengemis Wanita Humban Bayi Dalam Laut Ditahan Pihak Berkuasa

TAWAU: Seorang pengemis wanita di sini sanggup menghumban bayi lelakinya yang baru berusia enam bulan ke dalam laut ketika cuba mengelak daripada ditahan pihak berkuasa dalam satu operasi di sini, Rabu.

Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan, Asnah Kassim yang mengetuai operasi dua jam itu berkata bayi berkenaan bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh anggota penguat kuasa yang bertindak spontan terjun ke laut dan membawa kanak-kanak itu naik ke darat.

"Tiga lagi anak pengemis yang berumur dalam lingkungan enam hingga tujuh tahun berjaya melarikan diri daripada ditahan pihak berkuasa," kata Asnah kepada pemberita selepas operasi yang bermula jam 10 pagi itu selesai.

Dalam operasi yang disertai Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Perbandaran Tawau, Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia dan Pasukan Petugas Khas Persekutuan, seramai 23 pengemis dan kutu rayau, termasuk 13 kanak-kanak, berusia antara enam bulan hingga 60 tahun berjaya ditahan.

Menurut Asnah operasi berkenaan dijalankan untuk memberi perlindungan dan bantuan kepada golongan kutu rayau, termasuk yang kurang siuman, di samping sebagai maklum balas terhadap aduan orang ramai yang mendakwa sering diganggu golongan tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain