suria

Pembeli Rumah Kedai Dakwa Ditawar Pampasan Tidak Ikut Prosedur

ALOR SETAR: Beberapa pembeli premis perniagaan di Plaza Tunku Yaacob di sini yang terbengkalai pembinaannya lebih 25 tahun lalu mendakwa kerajaan negeri Kedah menawarkan pampasan tanpa mengikut prosedur seperti yang terkandung dalam Akta Pengambilan Tanah 1960, untuk tujuan pengambilalihan tanah berkenaan.

Peguam yang mewakili tiga pembeli unit berkenaan, Tan Keng Liang berkata: "Kerajaan negeri menawarkan untuk membayar pampasan berdasarkan konsep 'a dollar to a dollar' sedangkan menurut peruntukan dalam akta, bayaran seharusnya diasaskan kepada nilaian pasaran semasa.

"Bila kami tidak setuju, satu surat dikeluarkan bertarikh 26 Sept lepas mengarahkan klien saya membuat tuntutan terus daripada pihak Tunku Yaacob Holdings Sdn Bhd sedangkan kerajaan negeri dah ambil alih tanah itu," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Menurutnya kerajaan negeri telah mengeluarkan notis siasatan bertarikh 3 Julai lalu meminta pemilik tanah atau pihak berkepentingan terhadap tanah yang terbabit dengan pembangunan plaza berkenaan supaya hadir ke Pejabat Tanah Daerah (PTD) Kota Setar pada 25 Julai lepas bagi membincangkan pampasan untuk membolehkan pengambilan tanah dilakukan.

Sehubungan itu, Tan berkata pihaknya telah menghantar surat kepada PTD Kota Setar supaya menyelesaikan masalah berkenaan berdasarkan prosedur yang betul seperti yang terkandung dalam Akta Pengambilan Tanah 1960 dalam tempoh 14 hari bermula pada Rabu.

"Kalau mereka gagal selesaikan masalah ini dalam tempoh dua minggu ini, kami akan bawa perkara berkenaan ke mahkamah (saman).

Menurut Tan pembinaan plaza berkenaan terbelangkai sehingga kini sejak lewat 1980-an kerana pemaju mengalami masalah kewangan. -BERNAMA

Artikel Lain