suria

Pemansuhan Akta Buang Negeri Kerana Sudah Lapuk - Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu berkata pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 adalah wajar kerana ia tidak lagi relevan untuk diguna pakai dan sebagai langkah memperkemas sistem perundangan negara.

Menurut beliau,akta tersebut sudah tidak lagi diguna pakai sejak 24 tahun lalu.

"Dengan merujuk kepada rekod yang ada, akta ini banyak digunakan pada era 60-an dan kali terakhir pada 1977 dalam kes Menteri Dalam Negeri lawan Chu Choon Yong dan Anor," katanya ketika bacaan kali kedua berhubung pemansuhan akta itu.

Najib berkata, sejak itu kes penahanan dan pemulangan warga asing dikendalikan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155).

"Akta Imigresen 1959/1963 mempunyai peruntukan untuk memindahkan seseorang yang bukan warganegara sebagaimana terkandung di bawah Akta Buang Negeri 1959," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pemansuhan akta tersebut tidak menjejaskan sebarang waran, perintah, arahan atau surat cara lain yang dikeluarkan oleh Menteri sebelum tarikh permulaan akta ini berkuat kuasa.

"Pemansuhan akta ini juga tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan," jelasnya.

Najib berkata, pemansuhan itu merupakan aspirasi kerajaan ke arah pentadbiran yang lebih adil dan mendukung prinsip di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Walaupun akta itu dimansuhkan, terdapat mekanisme perundangan lain yang berupaya menangani perkara dihasratkan untuk dilindungi di bawah akta tersebut berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, norma di peringkat antarabangsa dan kesejahteraan rakyat," tambahnya.

Artikel Lain