suria

Pekerja Restoran Didakwa Sebabkan Kecederaan Tiga Lelaki

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja restoran dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas tiga pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap tiga lelaki di sebuah kelab malam, bulan lalu.

Tertuduh, Loi Siew Fu, 26, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan di kening kiri eksekutif pemasaran, Chan Yat Foong, 36, dan Tan Chuin Boon, 29, yang merupakan seorang pengurus jualan dengan membaling gelas ke arah kedua-dua mangsa.

Dia yang berasal dari Batu Caves, dekat sini juga didakwa menyebabkan kecederaan di muka dan kepala seorang jurujual, Ho Wai Keat, 30, dengan menggunakan tangannya.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan Loi pada pukul 2.30 pagi, 16 September lalu di Live Live Music Club, Lot GF001, 001A dan 001B, Ground Floor Federal Arcade, Bukit Bintang, di sini.

Pada prosidng itu, Timbalan Pendakwa Raya Fithril Hakim Ab Jalil menawarkan jaminan sebanyak RM12,000, tetapi peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff yang mewakili tertuduh merayu agar jumlah tersebut dapat dikurangkan atas alasan ia terlalu tinggi.

Majistret Zaki Asyraf Zubir membenarkan Loi dibebaskan dengan jaminan RM7,000 oleh seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 15 November depan.

Artikel Lain